Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan Mohammad Azfar Aza Azhar yang juga Ketua AMK Wangsa Maju membuat laporan polis terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo ekoran ucapan fitnah jenayah yang dibuat dalam siaran langsung TikTok.
“Beliau telah menyatakan ada rancangan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan darurat dan rusuhan kaum.Dia pesan kepada Perikatan Nasional untuk tidak terperangkap dengan agenda PM.
“Kenyataan oleh Papagomo ini adalah fitnah besar. Kita menolak sekeras-kerasnya. Ia bukan sahaja fitnah tapi boleh mencetuskan rusuhan kaum dan mengganggu gugat kestabilan dan ketenteraman awam.
Sekiranya pihak berkuasa membiarkan Papagomo menghasut dan menanam bibit kebencian terhadap perdana menteri dan kerajaan hari ini ia akan menyebabkan rusuhan kaum. Ramai akan terpedaya.
Beliau berkata laporan polis dibuat untuk memastikan Papagomo tidak lagi mengulangi tindakannya itu.
Menurutnya, Papagomo membuat kenyataan tersebut semalam dan ia telah ditularkan di X, TikTok dan kumpulan WhatsApp.
Ahli Biro Undang-Undang PKR Asheeq Ali Sethi Alivi berkata tindakan Papagomo bertentangan dengan seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan iaitu jenayah fitnah dan mengganggu gugat ketenteraman awam.
Selain itu ia turut bertentangan dengan seksyen 233 Akta SKMM iaitu penyalahgunaan media sosial.
“Kenyataan ini perlu disiasat supaya tidak berlaku sebarang kekecohan di negara ini. Kita mahu melindungi asas negara ini dan tidak diganggu gugat.”