Jabatan Peguam Negara (AGC) melihat seruan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mahu penelitian semula semua kes yang dipertuduhkan ke atas presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin sebagai elemen yang menjejaskan kredibiliti.
“AGC memandang serius kenyataan yang berkecenderungan menjejaskan kredibiliti Jabatan ini dan menggesa semua pihak supaya berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan yang mencadangkan atau membayangkan bahawa integriti dan kebebasan jabatan ini telah dikompromi oleh campur tangan politik atau pengaruh yang tidak wajar.”
AGC turut menegaskan bahawa ia tidak mempunyai sebab atau alasan munasabah untuk meneliti semula kes-kes yang telah dipertuduhkan di mahkamah, sebagaimana yang dicadangkan oleh Hamzah semalam.
“Jabatan Peguam Negara ingin menegaskan bahawa setiap keputusan untuk pendakwaan dibuat setelah meneliti dan menimbangkan dengan sepenuhnya semua ketereangan yang ada dan dibentangkan oleh agensi-agensi penguatkuasa serta mengikut undang-undang berkaitan.
“Tidak terdapat sebarang campur tangan politik atau tekanan untuk memulakan apa-apa pendakwaan. AGC sentiasa bertindak secara bebas dan profesional mengikut tatacara yang telah ditetapkan dalam memulakan pertuduhan terhadap mana-mana indivdu.”
Hamzah mencadangkan AGC meneliti semula semua kes pendakwaan ke atas presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Yassin susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Mahkamah tersebut telah melepas dan membebaskan Mahiaddin daripada empat tuduhan salah guna kuasa.
AGC turut mengingatkan bahawa tiga pertuduhan lagi ke atas Mahiaddin kekal.