Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Jemaah negara ini yang ingin mengerjakan ibadah haji harus mempunyai permit atau visa yang sah, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Menurutnya, tindakan cuba menunaikan haji tanpa visa sah bukan sahaja melanggar undang-undang Arab Saudi, malah boleh mendatangkan kesulitan besar kepada diri sendiri.

Katanya, ia termasuk dikenakan denda berat, dihantar pulang dan disenarai hitam daripada memasuki Arab Saudi dalam tempoh lama. 

“Malah tindakan ini juga berisiko mengancam hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi yang sekian lama terjalin dan mungkin keistimewaan diberikan kepada jemaah Malaysia sebelum ini ditarik semula,” katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kes sekumpulan 80 jemaah negara ini yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin, kerana menggunakan visa pelancong.

Mohd Na’im berkata Tabung Haji (TH) sentiasa mengingatkan semua bakal jemaah haji untuk tidak terpedaya dengan pakej-pakej haji dengan tawaran harga tidak munasabah dan bukan ditawar oleh Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan. 

“Walaupun, visa seperti mujamalah atau furada ini adalah kategori visa yang sah, namun ianya adalah hak eksklusif Kerajaan Arab Saudi dan berada di luar kuota haji rasmi,” katanya.

Mohd Na’im berkata adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana syarikat pelancongan ataupun individu yang tidak dilesenkan sebagai PJH oleh TH untuk mengiklankan tawaran pakej haji berdasarkan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Katanya, orang ramai boleh melaporkan kepada TH jika terdapat promosi haji tidak sah di mana-mana media sosial atau laman web agar dapat mengekang mana-mana agensi pelancongan yang tidak dilesenkan TH daripada terus mengambil kesempatan.-BH Online