Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia boleh mengikuti langkah Jepun yang menyediakan prasarana sistem kawalan banjir dalam usaha negara memperkukuh pengeluaran padi tempatan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata sistem kawalan banjir di negara berkenaan yang sangat efisien boleh disesuaikan dengan persekitaran di Malaysia.

“Saya percaya, banyak perkara yang boleh kita pelajari dan sesuaikan dengan keadaan di Malaysia antaranya sistem kawalan banjir mereka yang sangat efisien. 

“Insya-Allah, teknologi seperti ini boleh kita manfaatkan dalam usaha memperkukuh pengeluaran padi tempatan yang kini berada pada tahap sekitar 60 peratus daripada keperluan sebenar negara,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Mohamad kini dalam siri lawatan kerja ke Jepun bagi memperluas kerjasama dalam sektor pertanian antara dua negara, selain mengadakan perjumpaan dengan pemain industri pertanian di sana. 

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, amat tertarik dengan pendekatan moden dan penggunaan teknologi tinggi dalam bidang pertanian di Jepun, termasuk mesin penanam padi tanpa pemandu yang berasaskan teknologi maklumat (IT). 

“Ini contoh terbaik bagaimana pertanian boleh dipermodenkan bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja dan perubahan iklim,” katanya.

Dalam kunjungan ke kawasan penanaman padi di Echizen, Jepun itu, beliau menyatakan sempat bertemu anak Malaysia yang sudah bekerja di syarikat pertanian di sini selama tiga tahun.

“Ini membuktikan bahawa anak-anak kita juga mampu menguasai teknologi dan bidang pertanian bertaraf antarabangsa.

“Lawatan ini memberi banyak input yang sangat berguna khususnya dalam usaha kita meningkatkan pengeluaran padi negara dan memperkukuh keselamatan makanan,” katanya. 

Selain melawat kawasan penanaman padi, beliau juga mengadakan perjumpaan bagi mengukuh kerjasama dua hala dengan Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun, Koizumi Shinjiro di Tokyo.-BH Online