Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

LONDON: Malaysia menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi pendidikan dan rakan industri antarabangsa, termasuk dari United Kingdom (UK) untuk membangunkan hab pensijilan serta kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diiktiraf pada peringkat serantau.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata hasrat kerajaan mahu menjadikan Malaysia bukan saja negara yang melahirkan tenaga mahir, tetapi juga pusat rujukan latihan dan pensijilan TVET yang berwibawa bagi rantau ASEAN.

“Bagi memenuhi kehendak pasaran untuk ASEAN, kita ada Majlis TVET ASEAN dan akan aktifkan bukan sekadar pengiktirafan, tetapi kita mahu menggamit pelajar dari negara rantau itu untuk belajar di institusi TVET di Malaysia tanpa mengurangkan peluang pelajar kita belajar di institusi berkenaan,” katanya selepas menyampaikan ucapan umum berkaitan TVET di University College London (UCL) di sini semalam.

Turut hadir, pensyarah kanan dan pelajar di institusi berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, bagi tujuan itu, beliau mengadakan perbincangan dengan beberapa menteri negara ASEAN yang bertanggungjawab dalam bidang guna tenaga dan pekerjaan bagi kerjasama serantau dalam pembangunan TVET.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara dalam ucapannya berkata, Malaysia bersedia menjadi platform global dalam melahirkan bakat TVET bertaraf dunia dan bersedia untuk pasaran industri.

“Kita sedia memimpin, tetapi kita sedar tidak boleh melakukannya bersendirian. Kita akan mencapainya melalui kerjasama erat dengan ASEAN, rakan global dan warga Malaysia di luar negara yang berkongsi visi membina generasi mahir, berdaya saing serta bersedia menghadapi masa depan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, pada tahun lalu, kemasukan pelajar ke institusi TVET melonjak kepada 436,285 orang dengan 53.5 peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih TVET.

Beliau berkata, jumlah itu menggambarkan satu petanda positif perubahan persepsi rakyat terhadap TVET, yang kini tidak lagi dianggap pilihan kedua.

Katanya, Malaysia akan menjadi tuan rumah Dialog Dasar Serantau Majlis TVET ASEAN ke-4 bertemakan ‘TVET untuk Kemajuan Luar Bandar dan Serantau’ pada bulan ini, sempena Hari TVET Kebangsaan 2025.

“Pada dialog berkenaan, delegasi dari ASEAN, Australia dan Jerman akan membincangkan peranan TVET dalam mendorong pertumbuhan inklusif, memperkasakan belia dan memajukan komuniti luar bandar serta pertukaran inovasi, kerjasama industri dan transformasi negara,” katanya.– BERNAMA