Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

LONDON: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dengan Menteri Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar United Kingdom (UK), Steve Reed semalam, untuk membincangkan kerjasama dua hala antara Malaysia dengan UK.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, antara yang dibincangkan pada pertemuan itu ialah pengurusan bencana dan air bersih serta keperluan teknologi baharu dalam meningkatkan kesiapsiagaan negara terhadap perubahan iklim dunia.

“Kita ketahui soal begini ada hubung kait secara langsung dengan kehidupan manusia, beberapa pendekatan mesti dilakukan secara menyeluruh bagaimana pemanasan global dan masalah perubahan iklim mempengaruhi hidup manusia.

“Seperti kita tahu di sini (UK), pencemaran sungai menjadi sejarah, tetapi di negara kita masih lagi berlaku, kesedaran awam mengenainya mesti ditingkatkan,” katanya selepas Majlis Makan Malam Bersama Pelajar Tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) Malaysia di UK, di sini.

Turut hadir, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan kira-kira 60 pelajar tajaan MARA serta 40 tetamu lain.

Ahmad Zahid kini dalam rangka lawatan kerja ke UK selama empat hari berakhir esok. 

Pada pertemuan itu juga, kedua-dua pemimpin turut menyentuh kerjasama dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta industri halal global.

“Saya percaya pertemuan ini membuka ruang baharu dalam memacu kerjasama Malaysia-UK ke tahap lebih strategik, khususnya dalam membina masa depan inklusif, mampan dan berdaya tahan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid menekankan pentingnya menyemai semangat kekitaan secara berterusan dalam kalangan pelajar tajaan MARA di luar negara supaya mereka kembali dan menyumbang tenaga kepada tanah air.

Beliau berkata, pelajar memerlukan pendedahan walaupun purata gaji lebih tinggi di UK, mereka perlu menyumbang kepada pembangunan negara. 

“Hal ini perlu supaya mereka dapat berikan sumbangan dan tidak pernah lupa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung,” katanya. – BERNAMA