Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan menggubal undang-undang baharu bagi membolehkan teknologi kecerdasan buatan (AI) beroperasi dengan lebih bebas dan efektif tanpa terlalu terikat kepada kerangka perundangan sedia ada.

Perdana Menteri berkata, pemikiran lama berkenaan kedaulatan tidak lagi sesuai dalam era digital yang didorong AI kerana teknologi itu menuntut pendekatan baharu dan perubahan paradigma.

“AI kini meresap ke dalam hampir setiap aspek kehidupan termasuk tadbir urus. Pemimpin hari ini tidak ada pilihan selain memahami serta menguasai teknologi ini secara mendalam.

“Malaysia telah ke hadapan dalam hal ini dengan memperkenalkan pendekatan perundangan baharu yang membenarkan operasi digital seperti sistem awan (cloud) untuk berfungsi merentas sempadan, sebagaimana kekebalan diplomatik yang diberikan kepada kedutaan asing.

“Dalam konteks keselamatan, kita benarkan ruang digital beroperasi dengan kebebasan tertentu, namun tetap dalam kerangka kawalan sempadan negara,” katanya ketika menyertai sesi panel Forum Ekonomi ASEAN-GCC 2025 di sini, hari ini.

Sesi itu turut disertai Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan G42, Peng Xiao, manakala Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bertindak sebagai moderator.

Anwar menegaskan, teknologi seperti AI tidak boleh ditangani dari sudut nasional semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama dan tindak balas bersifat global.

“Kita tidak boleh melihat AI dari perspektif tempatan atau serantau sahaja kerana ia adalah fenomena global. Oleh itu, tindak balas dan dasar yang digubal juga mesti selaras dengan keperluan global,” katanya.

Mengulas inisiatif Malaysia bersama ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Anwar berkata, kerjasama itu kini bergerak ke arah yang lebih strategik, khususnya dalam pelaburan, teknologi baharu dan tadbir urus digital.

“GCC memainkan peranan penting, dan bermula dari Arab Saudi, kita perluas rundingan bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait serta negara-negara Teluk lain. Ini bukan rundingan simbolik semata-mata, sebaliknya merangkumi perbincangan serius berkaitan pelaburan, teknologi dan tadbir urus,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menjelaskan bahawa walaupun Malaysia memperkukuh hubungan ekonomi dengan China dan rantau Teluk, Amerika Syarikat (AS) masih kekal sebagai pelabur terbesar di negara ini.

“AS masih pelabur nombor satu Malaysia, dan lebih 60 peratus eksport komponen elektrik dan elektronik (E\&E) kita adalah ke negara itu. Justeru, strategi kita mesti bersifat global dan tidak boleh dikongkong oleh sempadan kepentingan nasional semata-mata,” katanya.-BH Online