Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ‘ASEAN 2045: Our Shared Future’ yang dimeterai hari ini, merangkumi 500 langkah strategik dalam usaha memperkukuh masa depan serantau bagi dua dekad akan datang.

Dokumen strategik jangka panjang menggantikan pelan ‘ASEAN 2025: Forging Ahead Together’ yang dimeterai ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2015, menjadi pelan hala tuju baharu ke arah membina Komuniti ASEAN yang lebih berdaya tahan, inovatif, dinamik serta berpaksikan rakyat.

Dokumen penting itu ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh; Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra; Perdana Menteri Loas, Sonexay Siphandone; Presiden Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos Jr; Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Myanmar, Aung Kyaw Moe.

Deklarasi ditandatangani itu kemudiannya diserahkan kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.

Visi ASEAN 2045 digariskan melalui enam dokumen penting, termasuk pelan strategik untuk tiga tunjang utama komuniti ASEAN dan pelan keterhubungan serantau. 

Secara keseluruhan, langkah strategik terbabit akan diterjemahkan kepada pelaksanaan program konkrit menerusi kerjasama badan sektor ASEAN.

Antara inti pati utama dokumen itu termasuk memperkukuh kedudukan ASEAN dalam ekonomi global sebagai pasaran tunggal yang mampan, pintar dan bersambung.

Ia juga bagi mewujudkan komuniti inklusif yang memberi tumpuan kepada pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan dan kesejahteraan sosial serta menjadikan ASEAN sebagai entiti aktif di peringkat antarabangsa yang menjunjung prinsip keamanan, multilateralisme dan tadbir urus yang baik.

Visi baharu itu turut menekankan kepentingan peranan belia, wanita dan golongan rentan dalam pembinaan komuniti, serta usaha mengekalkan identiti ASEAN yang kukuh dan dikongsi bersama.

Dengan pemeteraian deklarasi itu, semua anggota blok menerima pakai Visi Komuniti ASEAN 2045 bertemakan ‘Berdaya Tahan, Inovatif, Dinamik dan Berpaksikan Rakyat’ bersama dengan Pelan Strategik Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN, Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN, Pelan Strategik Komuniti Sosio-Budaya ASEAN dan Pelan Strategik Keterhubungan ASEAN.

Menerusi deklarasi itu juga, semua negara anggota bersetuju untuk meningkatkan kapasiti dan keberkesanan institusi ASEAN serta memperkukuh Sekretariat ASEAN, bagi memajukan pelaksanaan ASEAN 2045: Our Shared Future.

Selain itu, Setiausaha Agung ASEAN ditugaskan untuk memantau dan melaporkan kemajuan pelaksanaan ‘ASEAN 2045: Our Shared Future’ kepada Sidang Kemuncak ASEAN setiap tahun, melalui Majlis Penyelaras ASEAN serta Majlis Komuniti ASEAN yang berkaitan.-BH Online