KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyerahkan kepada Kabinet untuk memutuskan cadangan menaikkan had usia persaraan wajib kepada 65 tahun.
Menterinya, Hannah Yeoh, berkata daripada segi pekerjaan kepada golongan belia, beliau tidak melihat cadangan itu dapat menjejaskan golongan berkenaan.
“Setakat ini saya tidak lihat bagaimana ia boleh jejaskan golongan belia kerana saya percaya kita tidak ada kekurangan kerja. Kita hanya ada kekurangan yang mahu kerja dan itu masalah kita sekarang di Malaysia.
“Tetapi yang ini (cadangan menaikkan had usia persaraan wajib kepada 65 tahun) biar Kabinet dan kementerian yang bertanggungjawab buat kajian dulu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Video Kesedaran Belia Bebas Dadah bersama Pihak Pawagam di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KBS, Datuk Dr Nagulendran Kangayatkarasu dan Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh.
Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata kerajaan wajar mempertimbang had usia persaraan di Malaysia dinaikkan daripada 60 kepada 65 tahun, kerana berpendapat ramai dalam kalangan mereka berusia 60 tahun ke atas masih aktif.
Bagaimanapun, Jumaat lalu, lebih 15,000 pembaca Berita Harian Online menolak cadangan usia persaraan dilanjutkan kepada 65 tahun, berbanding 60 tahun ketika ini. Kebanyakan pembaca turut mencadangkan usia persaraan diturunkan kepada 55 tahun.-BH Online