Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 22 Mei– Wanita mualaf yang memaparkan luahan ketidakpuasan hati kerana gagal mendapatkan bantuan sehingga nekad untuk keluar daripada agama Islam, perlu dikenal pasti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata Unit Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) diarah berbuat demikian.

“Saya telah berikan arahan kepada MAIWP, khususnya Unit Jejak Asnaf untuk berhubung dan mencari wanita tersebut untuk diberikan bantuan.

“Dalam masa sama, saya rasa terdapat keperluan untuk kita menghubungi wanita tersebut kerana terdapat beberapa maklumat yang tidak berapa jelas untuk kita berikan bantuan,” kata Datuk Dr. Mohd Na’im.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra Bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan Rakan Strategik MAIWP tahun 2025 di ibu negara.

Ketika diminta mengulas tindakan wanita itu yang didakwa sedang berdepan masalah rumah tangga dan kewangan, Datuk Dr. Mohd Na’im berkata wanita tersebut bukan sahaja layak menerima bantuan kewangan, malah sokongan moral.

Beliau menyeru agar semua agensi agama termasuk masjid dan pusat zakat di seluruh negara agar tampil memberikan sokongan penuh kepada golongan mualaf agar mereka tidak merasa tersisih.

Terdahulu dilaporkan wanita berkenaan turut mendakwa pihak masjid dan pusat zakat tidak membantunya ketika cuba memohon bantuan.-Berita RTM