Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes pencerobohan tanah di Pahang menjurus kepada elemen rasuah khususnya membabitkan pegawai yang mempunyai kuasa ketika itu.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, namun mencadangkan mereka yang terbabit dalam pencerobohan tanah itu turut disiasat menggunakan Seksyen 403 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menyalahgunakan harta dengan curang.

Beliau berkata, selain di bawah Seksyen 10 Akta SPRM 2009 yang merujuk kesalahan bersetuju menerima suapan, siasatan kes itu itu juga dipertimbangkan di bawah Kanun Keseksaan.

“Dalam kes ini, ia adalah berkaitan dengan peneroka-peneroka yang dikatakan meneroka tanah secara haram untuk menanam durian dan mendapat manfaat daripadanya.

“Pun begitu, kita juga menjalankan siasatan dalam kes rasuah iaitu mereka yang didakwa menerima rasuah dan sudah tentunya ia membabitkan pegawai-pegawai yang mempunyai kuasa ketika itu,” katanya dalam sidang akhbar bulanan SPRM, di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pencerobohan tanah menjadi musuh utama di negeri itu dan bukan hanya dadah dan penjenayah.

Titah baginda, sebanyak 14,494.908 hektar tanah kerajaan diceroboh dan diusahakan secara haram dengan tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi.

Azam juga sebelum ini mendedahkan pihaknya mempunyai senarai individu dikenal pasti terbabit dalam kes pencerobohan tanah di Raub, Pahang.

Katanya, setakat ini tangkapan belum dibuat dan pegawai penyiasat SPRM sedang giat mengesan individu terbabit, termasuk pegawai kerajaan yang berkhidmat di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta pejabat daerah.

Dalam sidang akhbar itu juga, Azam tidak menafikan terdapat kesukaran untuk memanggil saksi-saksi yang terbabit termasuk kakitangan awam, kerana ia membabitkan tempoh masa yang lama iaitu antara tahun 2004 hingga 2016.

“Saksi terkini memang mudah untuk kita panggil tetapi kita tetap panggil untuk menjawab persoalan yang dikemukakan pegawai penyiasat. Ini bagi mengetahui proses dan tindakan penguatkuasaan mereka ketika itu,” katanya.

Tambah beliau, setakat ini 38 individu dipanggil untuk memberi keterangan termasuklah peneroka, peguam, pihak syarikat dan pegawai-pegawai daripada pejabat hutan, pejabat daerah dan tanah serta penguatkuasaan negeri Pahang dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Azam juga mengesahkan, pihaknya akan mengaktifkan semula siasatan kes penerokaan tanah yang sebelum ini dilakukan pada 2021.-BH Online