Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerjasama Malaysia-Russia dalam bidang sains serta pendidikan tinggi akan terus diperluaskan pada mesyuarat Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Budaya (JC-ESTC) Ke-4 di Langkawi, November depan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dalam hantaran melalui X berkata kerjasama Malaysia-Russia dalam aspek itu sudah bermula sejak kedua-dua negara bersetuju membentuk JC-ESTC pada 2015.

“Pada 2024, saya serta Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Russia mempengerusikan bersama mesyuarat JC-ESTC.

“Kita telah mengenal pasti pelbagai penambahbaikan, terutama dalam proses menambah bilangan pelajar datang ke kedua-dua negara, kerjasama penyelidikan pensyarah, aspek perdagangan, kebudayaan dan pelancongan,” katanya.

Zambry berkata, beliau membangkitkan perkara itu dalam ucapan bertajuk ‘Topical issues of developing cooperation between Russia and the countries of the Islamic world in the field of science and higher education in the context of a multipolar world order’ pada Forum Ekonomi Antarabangsa Ke-16 Russia-Dunia Islam (KazanForum 2025), baru-baru ini.

Beliau adalah antara delegasi Malaysia yang menyertai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam lawatan rasmi empat hari ke Russia atas jemputan Presiden Vladimir Putin, bermula 13 Mei lepas dan berakhir semalam.-BH Online