Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Adun Sikamat Datuk Seri Aminuddin Harun dijangka mengekalkan kedudukan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan berikutan istiadat angkat sumpah yang akan berlangsung di Istana Seri Menanti, Kuala Pilah petang ini.

Perkara ini disahkan oleh seorang pemimpin kanan DAP.

“Walaupun maklumat mengenai nama MB Negeri Sembilan tidak disebut dalam surat jemputan bagi majlis mengangkat sumpah di Istana Seri Menanti petang ini, tapi saya yakin dan percaya, Aminuddin akan dilantik sebagai Menteri Besar,” katanya.

Adun Klawang dari Amanah, Datuk Bakri Sawir turut menegaskan perkara ini.

“Kita (PH) 17 kerusi, BN 14 kerusi dan pembangkang (Perikatan Nasional) hanya ada lima kerusi, jadi PH yang mendominasi, memang tiada pengumuman lagi (siapa MB), logiknya Datuk Seri Aminuddin yang sepatutnya dilantik (MB).

“Itu yang kita uar-uarkan pun sebelum pilihan raya. Jangkaan kita adalah Aminuddin, agak mustahil untuk berubah (nama) kecuali ada pengkhianatan daripada BN,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, ketika dihubungi mendakwa pihaknya tidak dibawa berunding dalam soal pemilihan calon menteri besar.

“Dalam perkara ini, kami (Umno) bukan tidak setuju, tapi isunya kami tidak dibawa berunding.

“Kami ada 14 kerusi, single parti yang mewakili orang Melayu di Negeri Sembilan.

“Setakat ini saya tidak mendapat maklum balas daripada pihak Aminuddin (PH), namun saya berusaha untuk mengharmonikan perkara ini,” katanya