KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan merangka strategi dan hala tuju baharu pendidikan negara secara berani dan menyeluruh menjelang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Beliau berkata dasar lama perlu disemak dan pendekatan sedia ada perlu disegarkan supaya setiap pelaburan melalui RMK-13 dapat membentuk sistem pendidikan yang adil, berpandangan jauh dan mampan.
“Setiap wang yang dilaburkan harus membuahkan hasil dalam sistem pendidikan yang menjulang masa depan negara yang lebih makmur dan sejahtera,” katanya menerusi hantar di Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar menerima kunjungan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bersama barisan pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan petang tadi bagi membincangkan strategi dan hala tuju pendidikan negara menjelang RMK-13.
Perdana Menteri berkata antara perkara dibincangkan termasuk pendidikan prasekolah, latihan guru serta peningkatan kemahiran di Institut Pendidikan Guru (IPG), pelaksanaan Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) dan pemantapan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Turut disentuh ialah pengajian peringkat Tingkatan Enam dan matrikulasi, isu keciciran murid, permit mengajar bagi sektor awam dan swasta serta keperluan menyusun semula Pelan Induk Pendidikan Negara agar lebih selari dengan keperluan semasa.
Anwar berharap segala intipati dan iltizam daripada perbincangan itu dapat digerakkan secara tersusun, menyeluruh dan berani demi masa depan anak-anak, pendidik serta keseluruhan ekosistem pendidikan negara.
“Dunia sedang berubah pantas dan kita boleh berpuas hati dan terperangkap dengan nostalgia atau terikat dengan perancangan silam yang mungkin sudah tidak lagi relevan,” katanya.-Bernama