KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan perlu menerapkan transformasi digital secara aktif atau berisiko ketinggalan dalam persekitaran perniagaan yang semakin kompetitif.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berdasarkan angka semasa, PKS serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) merangkumi 97 peratus daripada keseluruhan populasi perniagaan di Malaysia.
“Dari segi pengetahuan, kebanyakan usahawan sudah tahu mengenai teknologi digital, namun persoalan utama adalah sama ada teknologi itu dimanfaatkan untuk memperkasakan perniagaan mereka. Pengetahuan tanpa aplikasi hanya akan menjadi satu masalah.
“Kita kini berada dalam dunia teknologi baharu yang berkembang pesat, dengan pelbagai ciptaan dan inovasi terkini yang muncul setiap hari.
“Saya percaya dalam tempoh mendatang, pasti lebih banyak lagi teknologi baharu akan muncul dan kita perlu menerima bahawa teknologi akan mengubah cara untuk menjalankan perniagaan,” katanya pada sidang media selepas perasmian CTOS SME Biz Day 2025, di sini, hari ini.
Gobind berkata, lebih banyak usaha perlu dilakukan bagi memastikan semua perniagaan, terutamanya PKS, menggunakan teknologi yang tersedia.
“Namun, kerajaan juga perlu mengambil kira cabaran kewangan yang dihadapi mereka. Ini kerana penggunaan teknologi datang dengan kos dan perlu faham bagaimana kos ini akan memberi kesan kepada keuntungan syarikat.
“Saya percaya, jika kerajaan dapat menyampaikan maklumat yang tepat dan meyakinkan rakyat bahawa teknologi boleh membantu mereka, saya yakin lebih banyak perniagaan akan mula menggunakannya secara langsung, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi negara, khususnya dalam bidang ekonomi digital,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Digital dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melancarkan Inisiatif Pendigitalan Perniagaan (BDI) pada Mac 2025.
“Inisiatif ini menyatukan program bantuan digital yang ada daripada pelbagai agensi ke dalam satu platform pusat dengan matlamat untuk menghapuskan perpecahan dan memudahkan perniagaan mencari dan memohon sokongan yang relevan.
“Terdapat pelbagai inisiatif yang ditawarkan sebelum ini di pelbagai platform dan agensi, namun melalui pelaksanaan BDI, kesemua program ini dapat disatukan bagi memudahkan PKS memahami kemudahan yang tersedia, kelayakan serta kaedah untuk mengakses sokongan berkenaan,” katanya.
Tambahnya, platform BDI menyediakan maklumat mengenai pembiayaan, latihan, perkhidmatan nasihat dan penyelesaian digital yang boleh diakses oleh PKS.
“MDEC akan terus meningkatkan inisiatif ini berdasarkan maklum balas pengguna, terutama daripada kawasan yang kurang mendapat perhatian dan kesedaran terhadap program kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Digital turut menyokong penuh inisiatif baharu yang memberi tumpuan kepada PKS seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, semalam.
“Inisiatif ini termasuk pilihan pembiayaan yang diperluas dan insentif dasar yang disesuaikan untuk segmen perusahaan PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana).
“Kementerian Digital menyokong penuh inisiatif ini, dengan MDEC diberi tanggungjawab untuk memastikan pengumuman Perdana Menteri disampaikan kepada sektor sasaran secara pantas dan berkesan,” katanya.-BH Online