KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) merancang untuk memperluas Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Hospital Orang Asli, Gombak, menjelang hujung tahun ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata ketika ini KPM dan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membuat persiapan rapi untuk tujuan berkenaan sebagai usaha bagi memastikan anak Orang Asli turut tidak ketinggalan dalam pendidikan ketika mendapatkan rawatan di hospital.
“Setakat ini, sudah 50,000 pelajar mendapat manfaat menerusi program SDH di 19 fasiliti kesihatan yang juga sudah mencatat beberapa kejayaan.
“Misalnya untuk SDH tahun ini, khususnya bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, sebanyak 91 peratus pelajar mencapai lulus dan layak mendapat sijil,” katanya selepas Majlis Pemeteraian Nota Kerjasama antara KPM dan KKM Dalam Pelaksanaan Program SDH dan Majlis Perasmian Program SDH di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Setakat ini, terdapat 19 SDH di seluruh negara membabitkan 16 fasiliti kesihatan di bawah KKM dan selebihnya hospital mengajar seliaan universiti.
Program SDH ialah satu perkhidmatan pendidikan khusus yang formal dan berstruktur berfokus kepada kesediaan serta keupayaan murid di hospital dengan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersifat fleksibel serta menekankan secara didik hibur di tempat yang selesa dan kondusif.
Sementara itu, Dzulkefly berkata, HRC menjadi fasiliti ke-16 di bawah seliaan KKM yang melaksanakan program SDH, dengan yang pertama bermula di Hospital Tunku Azizah pada Julai 2011.
“Di HRC saja, seramai 118 murid didaftarkan dan jumlah kehadiran melebihi 1,300 kali.
“Ini bukan sekadar angka, tetapi pelbagai kisah dipenuhi harapan, ketabahan dan semangat yang tak pernah luntur untuk terus belajar biarpun berdepan ujian berat dari segi kesihatan mereka,” katanya. — BERNAMA