Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menghubungi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bagi membincangkan pelbagai isu membabitkan kerjasama dua negara dan persiapan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Kuala Lumpur, hujung bulan ini. 

Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata dalam perbincangan singkat itu Malaysia-Indonesia membincangkan usaha memperkukuh kerjasama meliputi pelbagai bidang.

“Kami menyentuh keperluan kedua-dua negara sahabat ini untuk memperkukuh hubungan kerjasama meliputi pelbagai bidang. 

“Saya dan Presiden Prabowo percaya hubungan erat Malaysia dan Indonesia ini dapat memberi manfaat buat rakyat keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu, Anwar turut berkata, persiapan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN 2025 turut dibincangkan. 

“Kami juga menyentuh soal persiapan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Kuala Lumpur pada hujung bulan ini.

“Presiden Prabowo turut mengundang saya ke Jakarta bagi mengadakan lawatan rasmi dalam masa terdekat,” katanya. 

Untuk rekod, April lalu, Prabowo membuat kunjungan ke Malaysia dan mengadakan pertemuan dengan Anwar.

Ia adalah lawatan ketiga Prabowo ke Malaysia sejak memegang jawatan itu pada Oktober 2024.-BH Online