BAGAN DATUK: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, beliau akan terus memperjuangkan dalam membela nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha memastikan Najib mendapat keadilan sewajarnya iaitu termasuk menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan dalam rumah dianggap sebagai tunjang perjuangan UMNO masa kini.
Beliau berkata, antara usaha ke arah itu antaranya ketika beliau bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin mengunjungi Najib di Kajang pada Selasa lalu.
“Kita terus diuji Allah SWT dengan pelbagai ujian antaranya yang paling besar ialah apabila mantan Presiden UMNO (Najib) masih lagi berada di belakang tabir besi… ini turut menjadi tunjang perjuangan kita.
“Selasa lalu, saya dengan Datuk Seri Khaled Nordin dan Datuk Wira (Megat Zulkarnain) bertemu dengan Bossku (Najib) di Kajang. Dan kalau ada yang mengatakan UMNO khususnya saya secara peribadi di atas ini tidak memperjuangkan nasib Datuk Seri Najib yang dianiayai dengan sistem keadilan yang tidak memihak pada beliau, maka saksi hidup ialah rakan daripada Selangor diketuai oleh Datuk Wira Megat Zulkarnain.
“Mereka saksi hidup yang mengatakan kita tidak akan pernah meninggalkan Datuk Seri Najib berseorangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan Bahagian Bagan Datuk di Dewan Kompleks UMNO Bagan Datuk hari ini.
Persidangan itu dirasmikan oleh Megat Zulkarnain yang juga Setiausaha Politik kepada Ahmad Zahid serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Ahmad Zahid yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk berkata, beliau turut mengikut jejak Najib apabila menjemput Setiausaha Politik sendiri untuk berucap merasmikan persidangan cawangan berkelompok UMNO.
“Saya mengikuti jejak langkah Datuk Seri Najib yang menjemput saya sebagai Setiausaha Politiknya untuk merasmikan mesyuarat kelompok di Bagan Pekan ketika itu, ertinya saya ikut jejak langkah Datuk Seri Najib,” katanya.
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September tahun sama.-BH Online