KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mengimbangkan hubungan erat dengan Amerika Syarikat (AS) serta negara lain, dan pada masa sama menggalas amanah kepengerusian ASEAN untuk memacu pertumbuhan serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu juga adalah kesempatan untuk kerajaan memangkin usaha menyusun semula struktur ekonomi negara, membina asas yang lebih kukuh, kalis cabaran, dan berdaya saing dalam dunia yang kian tidak menentu.
“Petang tadi, saya mempengerusikan mesyuarat Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) untuk membincangkan strategi memperkukuh kedudukan eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS)
“Mesyuarat ini diadakan susulan pertemuan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dengan Setiausaha Perdagangan dan Wakil Perdagangan AS minggu lalu, yang menjadi langkah penting dalam memastikan suara Malaysia terus didengari dalam landskap perdagangan global yang semakin mencabar,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook semalam.
Sebagai rekod, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bertemu dengan Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer minggu lepas untuk membincangkan isu tarif perdagangan.– BERNAMA