KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa negara Global South supaya mengambil peluang membina susunan dunia baharu yang lebih adil dan seimbang, susulan ketidaktentuan sistem global sedia ada yang semakin rapuh.
Global South merujuk kepada negara membangun di Asia, Afrika, Amerika Latin dan Oceania yang memperjuangkan suara lebih seimbang dalam sistem antarabangsa.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata perubahan dalam landskap ekonomi dunia, termasuk isu tarif Amerika Syarikat baru-baru ini, bukanlah satu ancaman terhadap multilateralisme.
Beliau berkata, Malaysia seperti banyak negara lain di sini, turut terkesan dan ramai pemerhati mengibaratkan keadaan itu sebagai ancaman terbesar abad ke-21 terhadap multilateralisme.
“Walaupun kebimbangan itu berasas, situasi yang kita hadapi kini bukanlah satu ancaman. Sebaliknya, ia adalah satu pendedahan dan peluang. Ia mendedahkan hakikat bahawa susunan global era moden kini berada di ambang pengakhiran.
“Kestabilan dan keselamatan ekonomi dunia yang selama ini dijanjikan oleh hegemoni kini semakin terhakis. Oleh itu, kita perlu merintis laluan baharu ke hadapan,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Rakan Kongsi BRICS 2025 di Rio de Janeiro, Brazil, hari ini.
Beliau berkata, perkara itu sebaliknya membuka ruang kepada negara membangun memperkukuhkan kerjasama antarabangsa berteraskan kekuatan sendiri.
Oleh demikian, Mohamad menolak tanggapan bahawa negara membangun tidak bernilai sebagai rakan kongsi hanya kerana kekuatan ekonomi mereka lebih kecil berbanding negara maju.null
“Adalah kesilapan besar untuk menyatakan, seperti yang disebut oleh seorang pengacara televisyen baru-baru ini, bahawa negara Global South bukanlah rakan kongsi yang bernilai hanya kerana kita ‘miskin’.
“Kini seharusnya sudah jelas kepada mana-mana pemerhati yang berpendidikan bahawa Global South sebagai satu kolektif semakin menjadi pelaku utama dalam perubahan susunan global,” katanya.
Menurut beliau, ASEAN membuktikan potensi Global South apabila kini menjadi kuasa ekonomi kelima terbesar dunia dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah AS$3.8 trilion dan populasi seramai 677 juta orang.
“ASEAN mempunyai kuasa beli yang besar, rekod cemerlang dalam eksport dunia, serta mengamalkan diplomasi berfikiran terbuka.
“Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia memimpin rantau ini dengan pendekatan berasaskan kesepaduan ekonomi dan kepelbagaian strategik,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad turut menekankan pentingnya negara Global South memanfaatkan peluang untuk membentuk susunan dunia baharu yang lebih adil, inklusif dan seimbang.
Katanya, BRICS sebagai forum antarabangsa yang mewakili sebahagian besar populasi dunia, perlu memacu kerjasama ekonomi, politik dan sosial berasaskan prinsip keadilan dan pembangunan bersama.
“BRICS bukan sekadar forum, tetapi satu kuasa bagi ketahanan ekonomi, keseimbangan politik dan kemajuan sosial. Melalui usaha kolektif, kita dapat menawarkan satu visi dunia baharu yang lebih adil,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Malaysia menyokong keutamaan yang digariskan oleh Pengerusi BRICS Brazil tahun ini, merangkumi usaha menghadapi perubahan iklim, memperkukuhkan kesihatan global, mengembangkan ekonomi digital dan membangunkan tadbir urus kecerdasan buatan (AI) yang bertanggungjawab.
Beliau berkata, Global South perlu memimpin seruan bagi peralihan tenaga yang adil, memastikan pembiayaan iklim yang boleh diakses, mampu milik dan bersesuaian dengan keperluan negara membangun.
“Malaysia menantikan Persidangan COP-30 di Belém, dengan harapan langkah berani yang mengimbangi tanggungjawab alam sekitar dengan peluang ekonomi dapat direalisasikan,” katanya.
Dalam bidang kesihatan global, Mohamad menegaskan bahawa pandemik COVID-19 membuktikan pentingnya kerjasama sejati antara semua negara.
“Pandemik COVID-19 telah mengajar kita bahawa tiada satu negara pun selamat sehingga semua negara selamat.
“Krisis global mendedahkan betapa rapuhnya kita tanpa kerjasama sejati. Ketidaksamarataan mendalam masih wujud, dipacu oleh jurang ekonomi dan politik,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Malaysia sedia bekerjasama dengan BRICS untuk memperkukuhkan sistem kesihatan melalui model pembiayaan hibrid awam-swasta yang menekankan kemampuan dan kelestarian.
Mengenai ekonomi digital, katanya, usaha mempercepatkan pembangunan infrastruktur digital dan meningkatkan literasi digital di seluruh negara Global South perlu dipergiat bagi merapatkan jurang digital serta memanfaatkan potensi perdagangan digital rentas sempadan.
Dalam ucapannya, Mohamad turut menyentuh mengenai kecerdasan buatan (AI) dan Malaysia menyeru kepada tadbir urus AI yang bertanggungjawab dan inklusif.
‘AI harus menjadi jambatan merapatkan jurang, bukan menambahkannya (jurang) dengan mengutamakan penggunaan beretika, keadilan data, dan akses kepada kemahiran.
“Kita boleh memastikan AI menjadi pemangkin peluang dan inovasi, yang memperkasa semua negara untuk berkembang maju. Malaysia mengalu-alukan kerjasama lebih erat dalam kalangan BRICS untuk merapatkan jurang AI,” katanya.-BH Online