PUTRAJAYA, 22 April – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) kawalan keselamatan di semua premis kesihatan susulan insiden penyamaran seorang lelaki sebagai Pegawai Perubatan (PPP) di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar pada 8 April lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menegaskan tindakan segera perlu diambil bagi mengelak kejadian serupa berulang walaupun ia jarang berlaku.
“Perkara ini sedang disiasat dan saya mahu ia disusuli dengan segera. Kita akan kembali memperketatkan SOP. Walaupun insiden seperti ini jarang berlaku, kita tidak boleh ambil mudah.
“Saya akan pastikan langkah mempertingkat SOP keselamatan premis kesihatan disegerakan supaya kejadian seumpama ini tidak berulang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri KKM di sini, hari ini.
Beliau turut menekankan keperluan KKM untuk sentiasa menilai dan menambah baik aspek keselamatan sebagai langkah pencegahan terhadap ancaman luar yang boleh menggugat integriti sistem kesihatan awam.-Berita RTM