Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperkenal lima prosedur operasi standard (SOP) baharu penganjuran konsert khususnya bagi muzik tari elektronik (EDM).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata usaha dengan kerjasama strategik bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) itu adalah sebagai langkah proaktif dalam membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia selain memastikan aktiviti hiburan berlangsung dalam persekitaran selamat.

Beliau berkata SOP berkenaan adalah mewujudkan ‘Hydration Point‘ bagi mengatasi keadaan dehidrasi, menyediakan pasukan perubatan untuk kes kecemasan serta treler mesej sama ada poster atau video mengenai bahaya dadah dan tindakan yang perlu dilakukan oleh orang terdekat semasa berlakunya kecemasan.

Selain itu, hospital berdekatan perlu siap siaga untuk mengendalikan mangsa sekiranya berlaku insiden semasa konsert dan penempatan unit anjing pengesan bagi kawalan keselamatan.

“Penambahbaikan SOP penganjuran konsert ini merupakan tindakan baharu yang disyaratkan kepada penganjur konsert EDM terutama melibatkan fasiliti milik KBS seperti Perbadanan Stadium Malaysia dan Litar Antarabangsa Sepang,” katanya kepada pemberita pada sidang media Kempen Belia Bebas Dadah di Stadium Bukit Jalil di sini, semalam.

Hannah berkata menerusi penambahbaikan SOP berkenaan, Litar Antarabangsa Sepang dan Perbadanan Stadium Malaysia akan berkongsi jadual konsert bulanan mereka dengan Polis Diraja Malaysia, KKM dan Agensi Antidadah Kebangsaan.

Beliau turut menggalakkan semua penganjur konsert dan acara di fasiliti bukan milik KBS untuk mengguna pakai SOP berkenaan bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan belia dan pengunjung.

“Sebagai langkah bersepadu, Majlis AIDS Malaysia juga akan mewujudkan ‘Safe Space’ sebagai tempat rujukan maklumat mengenai bahaya dadah dan bahan terlarang untuk pengunjung,” katanya.

Terdahulu, Hannah melancarkan infografik mengenai kesedaran penyalahgunaan dadah dan poster kempen belia bebas dadah yang akan ditayangkan semasa konsert berlangsung. – BERNAMA