Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MASJID TANAH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Villa d’ Acqua Kampung Pulau, di sini, hari ini.

Ketibaan beliau kira-kira jam 5.30 petang itu disambut Ab Rauf serta beberapa pemimpin kerajaan serta politik negeri.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO meluangkan masa kira-kira sejam termasuk menyantuni ribuan rakyat yang hadir di majlis rumah terbuka berkenaan.

Yang turut hadir, Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; Menteri Luar yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Cuaca kadang-kala hujan tidak menghalang lebih 10,000 pengunjung hadir ke majlis berkenaan sehingga lewat petang ini dan dijangka bertambah sehingga penghujung majlis jam 12 tengah malam ini.

Sebanyak 70 gerai makanan tradisi berserta 10 kenderaan saji (food truck) disediakan bagi menjamu tetamu yang hadir.

Antara juadah yang disediakan termasuk sate, kambing golek, aneka kuih-muih, aneka nasi dan mi serta pelbagai lagi.

Pengunjung yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan beberapa artis popular tanah air termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Jamal Abdillah serta artis kebudayaan Melaka.

Pada sebelah malam ini, majlis akan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Dr Mohd Ali Mohd Rustam.

Antara yang dijangka hadir malam ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain; Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Bhd, Rafiq Razali serta Ketua Pegawai Operasi Media Prima OMNIA, Datuk Mohd Effendi Omar.

Majlis Rumah Terbuka Ketua Menteri Melaka akan berlangsung sehingga jam 12 malam ini.-BH Online