Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, akan mengadakan pertemuan penting dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), Jamieson Greer, dan beberapa pegawai kanan lain di Washington pada 24 April ini bagi membincangkan isu tarif balas yang dikenakan ke atas Malaysia.

Beliau berkata, lawatan kerja dua hari itu juga akan dimanfaatkan untuk bertemu dengan dewan perniagaan, syarikat dan kumpulan berkepentingan bagi menjelaskan pendirian Malaysia sebagai negara neutral serta kepentingannya dalam sektor strategik seperti semikonduktor dan elektrik dan elektronik (E&E).

“Kami ke sana bukan untuk rundingan rasmi tetapi bagi menjelaskan bagaimana Malaysia memainkan peranan sebagai rakan dagang yang menyokong industri Amerika Syarikat (AS), bukan mengancamnya,” katanya pada taklimat media baru-baru ini.

Delegasi Malaysia akan turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Mastura Ahmad Mustafa serta pegawai lain, termasuk wakil MITI di Kedutaan Malaysia di Washington.

Tengku Zafrul berkata, lawatan itu juga bakal menjadi medan untuk menyampaikan suara ASEAN secara kolektif berikutan Malaysia kini memegang kerusi Pengerusi ASEAN bagi tahun ini.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, saya akan menyampaikan pendirian blok ini yang menegaskan kepercayaan terhadap sistem perdagangan global berasaskan peraturan serta prinsip multilateralisme dalam perdagangan,” katanya.

Menurutnya, ASEAN tidak bercadang mengambil sebarang tindakan balas terhadap tarif AS, sebaliknya kekal berpegang kepada usaha dialog terbuka dan membina bagi menangani kebimbangan perdagangan antara kedua-dua pihak.

“Kami mahu menjelaskan kepada AS bahawa banyak negara ASEAN tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa produk mereka mengenakan tarif tinggi terhadap AS. Beberapa tanggapan itu perlu diperbetulkan,” katanya.

Tegas beliau, Malaysia tidak mahu menjadi mangsa dalam ketegangan perdagangan global yang sedang memuncak, dan usaha diplomasi ekonomi seperti ini penting untuk mengekalkan kestabilan perdagangan dua hala.

Dalam kenyataan bersama Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN selepas mesyuarat khas pada 10 April lalu, blok itu menzahirkan komitmen untuk mempertahankan kepentingan ekonomi serantau serta mengekalkan hubungan dagang yang kukuh dan saling menguntungkan dengan AS.

Tarif balas yang dikenakan AS menyasarkan negara anggota ASEAN, dengan Kemboja dikenakan gabungan tarif asas dan tarif balas tertinggi sebanyak 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus), Myanmar (44 peratus), Thailand (36 peratus), Indonesia (32 peratus), Brunei dan Malaysia masing-masing (24 peratus), Filipina (17 peratus) dan Singapura (10 peratus).

Bagaimanapun, kesemua tarif itu kini berada dalam tempoh penangguhan selama 90 hari kecuali untuk China, yang masih tertakluk kepada tarif asal.

Lawatan Tengku Zafrul ini dilihat sebagai langkah penting dalam usaha diplomatik Malaysia untuk mengekalkan kepercayaan pelabur asing serta memperkukuh kedudukannya dalam rantaian bekalan global, terutamanya di tengah-tengah cabaran geopolitik yang semakin rumit. – BERNAMA