Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANGKOK: Malaysia dan Thailand melakar detik bersejarah apabila memeterai Perjanjian Pembinaan Jambatan Kedua Rantau Panjang-Su-Ngai Kolok hari ini, menandakan permulaan rasmi projek infrastruktur rentas sempadan utama kedua-dua negara.

Turut dimeterai, perjanjian bagi kerja-kerja naik taraf jambatan sedia ada yang menghubungkan dua kawasan berkenaan. 

Perjanjian itu ditandatangani Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mewakili Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan Thailand, Suriya Juangroongruangkit.

Majlis pertukaran perjanjian di Government House, disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra.

Anwar berada di sini sempena lawatan kerja dua hari bermula hari ini.

Nanta dalam kenyataan memaklumkan, projek itu merangkumi pembinaan jambatan baharu sepanjang 117.3 meter yang sejajar dengan jambatan sedia ada berserta dengan kerja naik taraf menyeluruh terhadap struktur asal.

Dengan anggaran kos RM40.54 juta, projek itu dibiayai bersama kedua-dua kerajaan dan disasarkan untuk siap pada tahun 2028.

“Pemeteraian ini menandakan satu lagi langkah penting ke arah pembangunan serantau yang mampan dan pertumbuhan inklusif.

“Ia sejajar dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ yang mencerminkan visi bersama rantau ini ke arah kemajuan kolektif iaitu memastikan pembangunan sampai ke setiap komuniti dan tiada yang ketinggalan,” katanya.

Nanta berkata, kerjasama itu juga membuktikan komitmen berterusan Malaysia dalam memajukan pembangunan serantau, memperkukuh hubungan dua hala dan memastikan kemakmuran inklusif bagi komuniti sempadan.

Katanya, jambatan bersejarah Rantau Panjang–Su-Ngai Kolok mula dibina pada 1971, yang sudah lama menjadi penghubung utama bagi komuniti serta ekonomi antara Malaysia dan Thailand. 

Pada 2012, di bawah Strategi Pembangunan Bersama (JDS) untuk Kawasan Sempadan yang telah dipersetujui oleh ketua kerajaan, Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Lebuh Raya di bawah Kementerian Pengangkutan Thailand bersetuju untuk menambah keupayaan jambatan berkenaan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

“Malaysia mengambil inisiatif dalam mereka bentuk struktur baharu itu dengan mengambil inspirasi daripada motif tradisional ‘Perahu’ sebagai penghormatan kepada peranan penting Sungai Golok dalam menghubungkan Rantau Panjang dan Su-Ngai Kolok.

“Apabila siap kelak, infrastruktur yang dipertingkatkan ini dijangka memperkukuh keterhubungan, perdagangan dan interaksi antara rakyat secara ketara serta menjadi simbol berkekalan bagi persahabatan yang utuh di antara Malaysia dan Thailand,” katanya.-BH Online