Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

IPOH: Kerajaan Perak memohon peruntukan RM20 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi meneroka kawasan sumber mineral baharu termasuk unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata peruntukan itu akan membolehkan kajian dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi mengenal pasti lokasi mineral berkenaan yang menjadi sumber pendapatan baharu bagi negeri ini.

“Bukan saja taburan NR-RRE tetapi dimaklumkan ada banyak lagi mineral baharu yang jika dapat dikenal pasti tempatnya, insya-Allah ia akan menjadi pendapatan baharu untuk kerajaan negeri,” katanya menjawab soalan tambahan Tiw Tee Siang (PH-Tronoh) yang ingin tahu adakah kerajaan negeri akan membuat kajian bagi meneroka mineral baharu dan akan memetakan kawasan itu pada sesi soal jawab di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal Tee Siang, Saarani berkata, terdapat enam plot tanah milik yang diluluskan berdasarkan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) bagi tujuan perlombongan NR-REE.

Beliau berkata, ia membabitkan kawasan mukim Kenering, di daerah Hulu Perak dan hanya satu plot saja sedang beroperasi sebagai projek perintis bagi perlombongan NR-REE berkenaan.

“Berdasarkan kajian awal dilaksanakan JMG Perak, terdapat empat daerah yang berpotensi mempunyai sumber bahan mineral NR-REE iaitu Hulu Perak, Kuala Kangsar, Larut Matang dan Kinta dengan jumlah rizab sebanyak kira-kira 1.7 juta tan.

“Bagaimanapun, sebanyak 70 peratus sehingga 80 peratus daripada kawasan yang berpotensi mempunyai rizab NR-REE ini terletak dalam kawasan hutan simpan,” katanya. –BERNAMA