Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Majikan kini dibenar menggunakan sebahagian daripada kutipan levi bagi tujuan pengambilan graduan baharu untuk platform latihan, sebagai langkah mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata ia bertujuan memberi ruang kepada graduan baharu untuk menimba pengalaman bekerja, sekali gus memudahkan mereka memperoleh pekerjaan selepas menerima latihan.

“Antara masalah sering dihadapi pekerja atau pencari kerja ialah mereka berkata: ‘Saya tidak mendapat pekerjaan kerana tiada pengalaman. Tetapi jika anda tidak memberikan saya pekerjaan, saya tidak akan memperoleh pengalaman’.

“Oleh itu, kami melihat pengambilan graduan baharu sebagai satu bentuk latihan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya di Wisma Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), di sini, semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid; dan Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood.

Majlis itu turut dihadiri Duta Yaman ke Malaysia, Dr Adel Mohammad Ali Ba Hamid; Duta Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel; Duta Senegal ke Malaysia, Abdoulaye Barro; Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Dr Karomidin Gadoev; serta Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan.

Mengulas lanjut, Sim memaklumkan bahawa menerusi inisiatif itu, syarikat juga diberi insentif untuk memperluaskan operasi dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

Malah, kerajaan melalui HRD Corp telahpun merangka pelbagai inisiatif, termasuk menyediakan latihan dan peluang pekerjaan bagi meningkatkan kebolehpasaran belia.

Sebelum ini, media melaporkan HRD Corp berjaya mengumpul kutipan levi sebanyak RM2.3 bilion tahun lalu, meningkat berbanding RM2.1 bilion pada tahun sebelumnya.-BH Online