Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Beberapa firma teknologi dan institusi akademik Malaysia serta China akan bekerjasama dalam memajukan kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan infrastruktur digital generasi akan datang menerusi perkongsian pengetahuan dan sumber.

Perkongsian itu dimuktamadkan dengan pertukaran enam memorandum persefahaman (MoU), menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam kerjasama digital antara penggiat industri utama dan institusi pendidikan dari kedua-dua negara.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata MoU itu akan menggunakan penyelesaian AI dan teknologi awan termaju untuk mengubah platform e-dagang, rangkaian logistik, perkhidmatan kerajaan dan keseluruhan infrastruktur digital Malaysia.

“Pertukaran pengetahuan dan sumber dalam teknologi digital dan inovasi adalah penting untuk pertumbuhan Malaysia. Ia akan memberi manfaat besar kepada agenda digital negara kita dengan meningkatkan keupayaan kami, memupuk inovasi dan memacu kemajuan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena majlis pertukaran MoU itu.

Acara disaksikan oleh Gobind dan Gabenor Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang China, Lan Tianli.

Menurut kenyataan itu, enam MoU meliputi pelbagai inisiatif AI termasuk penciptaan infrastruktur awan AI berdaulat.

Kerjasama antara Huawei Technologies (Malaysia) Co Ltd dan Skyvast Cloud Sdn Bhd ini akan menyaksikan penggunaan Unit Pemprosesan Grafik Ascend Huawei, pelayan komputer Kunpeng, platform awan dan penyelesaian rangkaian.

Skyvast akan menerajui pembangunan perniagaan, memberi maklumat mengena penggunaan aplikasi dan strategi dalam pasaran Malaysia dan ASEAN.

Dalam bidang logistik pintar, Huawei Malaysia dan Tiong Nam Logistics Solutions Sdn Bhd akan mengintegrasikan AI dan teknologi awan untuk digunakan dalam operasi gudang dan rantaian bekalan.

Kenyataan itu berkata, Tiong Nam akan menyelia reka bentuk, pembinaan dan operasi penyelesaian teknologi logistik, disokong oleh infrastruktur awan Huawei Malaysia dan keupayaan pengkomputeran AI.

Satu lagi MoU membabitkan TOGL Technology Sdn Bhd dan Huawei Malaysia, ia akan membangunkan platform e-dagang dan kesetiaan dikuasakan AI, menggabungkan maklumat berkaitan permintaan industri TOGL dengan platform AI Huawei dan penyelesaian teknologi termaju.

Dalam pada itu, Huawei Malaysia turut memeterai MoU tiga hala dengan HeiTech Padu Bhd dan MyEG Services Bhd untuk meneroka perkhidmatan digital dipacu AI untuk digunakan kerajaan seperti imigresen dan pengangkutan.

“Baki dua MoU lagi akan menyaksikan pembinaan Makmal Teknologi Maklumat Bersama Spatiotemporal Intelligence China-ASEAN kerjasama antara Guilin University of Electronic Technology dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah serta Makmal Bersama Kerjasama Antarabangsa AI antara Guangxi Minzu University dan Universiti Tunku Abdul Rahman,” katanya.

Terdahulu, Lan dan delegasinya mengadakan kunjungan hormat ke atas Gobind dan pegawai kementerian lain, antara perkara dibincangkan ialah kerjasama dan perkongsian lanjut dalam AI, data besar dan pembangunan bakat.

Gobind meluahkan keyakinan bahawa lawatan berkenaan akan membuka jalan kepada jalinan persahabatan lebih erat dan kerjasama yang dapat membuahkan hasil antara Malaysia dan Guangxi.

“Marilah kita bekerjasama untuk membentuk masa depan supaya AI berkhidmat kepada rakyat, mengukuhkan ekonomi kita serta memberi kesan positif kepada rantau ini secara keseluruhannya,” katanya.

Perkongsian sedemikian seiring dengan agenda Kerajaan MADANI untuk mempercepatkan penggunaan AI merentas semua sektor dalam perjalanan untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara digital dan hab teknologi terkemuka di Asia Tenggara.-BERNAMA