Malaysia akan membincangkan ketidaktentuan dasar tarif Amerika Syarikat (AS) pada Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN, pagi ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, akan mempengerusikan mesyuarat itu dan membincangkan perubahan terkini yang dilaksanakan AS.
“AS sekali lagi mengubah dasar tarifnya, menangguhkan kenaikan untuk banyak negara tetapi meningkatkan tekanan ke atas China.
“Saya mengalu-alukan langkah ini, namun pada masa sama kita perlu mengakui ketidaktentuan ini menimbulkan persoalan tentang hala tuju perdagangan global dan impaknya kepada ASEAN,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya, hari ini.
Dalam langkah terbaharunya, Presiden AS, Donald Trump, menangguh dan menurunkan kadar tarif baharu ke atas import semua rakan dagang AS kecuali China kepada 10 peratus selama 90 hari untuk membenarkan rundingan perdagangan dengan rakan dagangnya.
Trump mengumumkan jeda itu beberapa jam selepas barangan dari hampir 90 negara dikenakan tarif timbal balik yang lebih ketat oleh AS.
Bagaimanapun, di sebalik perkembangan terbaharu itu, Trump mengenakan cukai lebih tinggi ke atas China dalam apa yang kini menjadi konfrontasi berskala penuh antara dua ekonomi terbesar dunia.
Presiden AS itu menaikkan tarif yang dikenakan ke atas import dari China kepada 125 peratus berkuat kuasa serta-merta.
Tengku Zafrul berkata, Malaysia giat menilai implikasi daripada perubahan itu dan kekal komited untuk bekerjasama dengan rakan anggota ASEAN.
Katanya, langkah itu bagi mengurangkan gangguan, memperkukuh daya tahan ekonomi serantau, dan memperjuangkan hubungan perdagangan yang seimbang serta stabil.
“Perpaduan ASEAN dan integrasi ekonomi serantau akan menjadi lebih penting berbanding sebelum ini, dan kami mengalu-alukan sokongan rakan yang berkongsi visi ini dan mahu melihat kita semua berjaya.
“Malaysia sentiasa menjadi dan akan terus menjadi rakan perdagangan dan pelaburan yang terbuka kepada semua negara, termasuk China dan Amerika Syarikat,” katanya.
Tegasnya, Malaysia komited mencari penyelesaian yang saling menguntungkan dalam isu perdagangan dengan AS.
“Malaysia juga akan meneruskan strategi sedia ada untuk mempelbagaikan perdagangan dan meneroka pasaran baharu, serta memperdalam hubungan dengan pasaran sedia ada, sebagai langkah berwaspada terhadap ketidaktentuan semasa.
“Kita juga akan meningkatkan usaha dalam agenda pembaharuan ekonomi negara untuk memastikan Malaysia terus berdaya saing,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, keutamaan Malaysia adalah untuk mengharungi landskap yang sentiasa berubah ini sambil melindungi kemakmuran ekonomi negara.-BH Online