Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaksanakan pelan tindakan baik pulih dan membina semula kediaman yang rosak teruk dalam tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, minggu lalu.

Menterinya Nga Kor Ming berkata, pelan tindakan itu diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya memberi fokus utama kepada inisiatif pemulihan dan pembinaan semula rumah yang terjejas akibat kebakaran terbabit.

“Sehubungan itu, KPKT pada minggu lalu menubuhkan Special Task Force yang terdiri daripada semua agensi di bawah kementerian terutama agensi pelaksana iaitu Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).

“Pasukan berkenaan kemudian menghasilkan pelan tindakan untuk membaik pulih serta membina semula kediaman mangsa yang terjejas akibat kejadian kebakaran dan diserahkan kepada Perdana Menteri hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, beliau berkata, KPKT turut menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi membaiki infrastruktur awam di kawasan bencana.

Pada masa sama, katanya, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan memberi bantuan penuh kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk kerja pembersihan di kawasan bencana.

Nga berkata, kerja pembersihan itu akan dijalankan pada Sabtu dan Ahad ini.-MyMetro Online