Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kekuatan ASEAN terletak bukan hanya pada situasi yang menarik perhatian dunia, tetapi pada daya tahan yang terbukti dalam menghadapi peperangan, krisis, dan rampasan kuasa sepanjang hampir enam dekad penubuhannya sejak 1967. 

Justeru, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN memiliki keupayaan untuk menangani langkah Washington yang mengenakan tarif membebankan, yang menyebabkan kemerosotan pasaran global. 

Menyuntik keyakinan, beliau berkata ASEAN, yang kini di bawah kepengerusian Malaysia, terus bergerak ke hadapan. Walaupun kadangkala dianggap perlahan, ASEAN tetap maju dan terus berusaha.

Anwar menegaskan ASEAN berkembang secara berperingkat dan bukan melalui revolusi. Oleh itu, tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bukanlah cabaran pertama terhadap multilateralisme, dan ia bukan yang terakhir. Namun, jika ASEAN terus bertekad untuk kekal terbuka, pragmatik, dan bersatu, ini akan menjadi bukti bahawa dunia mampu berfungsi lebih baik melalui kerjasama.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 bertajuk “ASEAN 2025: Membina Masa Depan Berdaya Tahan dan Terangkum” yang diadakan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 serta mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. 

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata dengan ketidaktentuan yang semakin meningkat, pelaksanaan semula dasar perlindungan dan penyesuaian semula rantaian bekalan, ASEAN kekal sebagai simbol harapan kerana ia komited terhadap keterbukaan, kerjasama, dan kesinambungan institusi. 

“Jumlah perdagangan kita dalam barangan mencapai AS$3.5 trilion. Walau bagaimanapun, angka ini tidak terjamin. Dengan serangan tarif yang melanda seluruh dunia, kita sedang menyaksikan keretakan dalam aturan global. Oleh itu, ASEAN perlu lebih bergantung kepada keupayaannya sendiri,” kata beliau. 

Ini bermakna mengukuhkan perdagangan dalam kalangan negara ASEAN perlu melangkaui retorik kepada pelaksanaan nyata.

“Liberalisasi tarif di rantau ini sebahagian besarnya telah selesai, tetapi penyelarasan kawal selia, logistik rentas sempadan, dan kesalinghubungan digital masih belum selesai. Ia juga bermakna kita perlu melindungi dan memperluas hubungan luar negara kita. Dialog dan rakan kongsi sektoral kita melibatkan enam benua,” tambahnya. 

Anwar berkata hanya beberapa blok serantau yang mampu mewujudkan rangkaian sedemikian. Sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia akan memberi tumpuan kepada pemerkasaan semula platform strategik seperti ASEAN Plus Three untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi. 

“Visi kami untuk ASEAN ialah rantau yang makmur, mampan dan inklusif. Ini memerlukan keazaman politik, modal yang besar, ketabahan, dan keadaan yang baik. Ia juga memerlukan kemajuan pesat dalam inisiatif di peringkat subrantau,” katanya. 

Beliau memberi contoh Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura sebagai langkah utama. 

“Walaupun ini bukan penyelesaian segera, ia tetap langkah penting. Dengan mengurangkan halangan dan menyelaraskan dasar antara dua ekonomi yang saling berkait rapat, kita mencipta impak yang dapat dijadikan rujukan — satu kajian kes dalam logik ekonomi rentas sempadan,” jelasnya. 

Malaysia juga komited untuk melabur dalam pembangunan kawasan sempadannya, termasuk di utara Semenanjung dengan Thailand serta sempadan Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan, bagi menggalakkan aktiviti ekonomi demi manfaat rakyat kedua-dua belah sempadan. 

Usaha lain termasuk grid tenaga ASEAN untuk menghantar elektrik dari Vietnam ke Kelantan melalui kabel bawah laut dan seterusnya ke Singapura melalui talian penghantaran daratan, serta memperluas jaringan pembayaran ASEAN. 

Terdapat juga pelan untuk menggalakkan integrasi ekonomi yang lebih baik bagi membolehkan perniagaan memanfaatkan ASEAN sebagai pasaran yang lebih baik dan mengembangkan perniagaan serantau dalam sektor perkhidmatan kewangan, tenaga, pelancongan, penjagaan kesihatan, telekomunikasi, dan logistik. – BERNAMA