Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pasaran semikonduktor ASEAN dijangka melepasi AS$52 bilion (RM233.41 bilion) menjelang 2032 berbanding AS$31 bilion (RM139.15 bilion) pada 2023.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, bagaimanapun berkata meskipun skala itu penting, strategi adalah segala-galanya dan jika rantau ini ingin menjadi peneraju, maka ia perlu beralih daripada kuantiti kepada nilai.

“Ini bermaksud kita mesti menaikkan rantaian nilai dengan membabitkan diri dalam reka bentuk hadapan, fabrikasi dan pembangunan harta intelek (IP) supaya ASEAN bukan sekadar tempat pemasangan inovasi, tetapi tempat inovasi itu sendiri bermula.

“Tiada negara yang berjaya sendirian. Kejayaan Taiwan bukan semata-mata kerana bakat, dan Amerika Syarikat (AS) bukan semata-mata kerana modal, tetapi ekosistem yang padu, tersusun dan disokong, menjadi pembeza utama.

“ASEAN juga mesti mengambil pendekatan sama, dan melakukannya bersama-sama. ASEAN mempunyai potensi luar biasa untuk bergerak ke hadapan dalam semikonduktor global,” katanya menyampaikan ucapan alu-aluan pada acara di Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 di sini, hari ini.

Amir Hamzah berkata, ASEAN memiliki keupayaan industri yang mendalam, tenaga jurutera yang semakin berkembang, hab inovasi yang semakin canggih, serta akses kepada pasaran pengguna dan perusahaan yang amat dinamik.

“Kekuatan ASEAN bukan terletak pada melakukan perkara yang sama di setiap negara, tetapi melakukan perkara yang saling melengkapi secara bersama. Dengan koordinasi yang betul, kita boleh mengubah ASEAN menjadi kuasa besar semikonduktor yang bersatu, tangkas dan bersedia untuk masa hadapan.

“Namun, kita tidak boleh menutup mata terhadap cabaran yang mendatang. Penjajaran semula rantaian bekalan global yang didorong oleh ketegangan geopolitik dan dasar perlindungan perdagangan kini sedang merombak semula model perdagangan dan pengeluaran global.

“Pengumuman terkini AS untuk mengenakan tarif timbal balas, termasuk tarif 24 peratus ke atas eksport Malaysia, bukanlah kejadian terpencil, sebaliknya petunjuk kepada perubahan dasar yang semakin bersifat mendalam,” katanya.

Dalam pada itu. Amir Hamzah berkata, sejak 2012, ASEAN melahirkan lebih daripada 10 syarikat unicorn dengan nilai gabungan melebihi AS$34 bilion (RM152.6 bilion). 

Namun begitu, katanya, ekosistem syarikat pemula di rantau ini masih menghadapi cabaran seperti akses pembiayaan yang tidak sekata, pasaran yang berpecah-pecah, dan sokongan peningkatan skala yang terhad.

“Jika semikonduktor diibaratkan sebagai perkakasan ekonomi masa depan, maka syarikat permulaan pula ialah sistem operasinya, iaitu pemacu kepada kelincahan, keupayaan menyesuaikan diri dan inovasi. 

“Namun, idea yang berani tidak akan berkembang dalam pengasingan. Untuk terus maju, syarikat pemula memerlukan infrastruktur peluang: peraturan yang jelas, pasaran yang terbuka, rangkaian yang dipercayai, dan institusi yang berkembang bersama mereka, bukan di sekeliling mereka.

“Momentum ini sedang terbina. Di seluruh ASEAN, kita sedang menyaksikan gelombang baharu inovasi dasar, di mana kerajaan bukan sekadar pengawal selia, tetapi pemudah cara pembentukan modal. 

“Daripada dana pelaburan berstruktur kepada platform modal teroka yang disokong kerajaan, rantau ini mula meletakkan asas yang diperlukan untuk firma berimpak tinggi muncul, berkembang dan kekal kukuh. Ini bukan sekadar subsidi, ini adalah pembinaan negara secara strategik,” katanya.-BH Online