Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kota Kinabalu: Hanya 3.62 peratus atau 29 daripada 801 projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dikategorikan sebagai projek sakit, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, daripada jumlah projek sakit itu, 22 projek atau 75.86 peratus berpunca daripada masalah kontraktor, manakala satu projek melibatkan perubahan skop dan enam projek melibatkan pelbagai isu.

Ahmad berkata, daripada projek mempunyai masalah kontraktor itu, 11 projek menghadapi kelemahan pengurusan dalaman, 7 (penjadualan dan perancangan lemah), 3 (masalah kewangan) dan satu berdepan kelewatan pembekal Sistem Binaan Berindustri (IBS).

“Bagi negeri Sabah pula, hanya dua projek dikategorikan sebagai projek sakit daripada 29 projek sakit di seluruh negara itu tetapi kita lihat lebih 96 peratus projek di bawah JKR adalah projek sihat. Ini adalah sesuatu yang positif,” katanya semasa mengadakan lawatan ke tapak pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Lok Kawi, di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Maslan berkata projek RKAT di Kem Lok Kawi akan disiapkan pada tahun ini juga dan kontraktor mengambil langkah proaktif untuk mempercepatkan pembinaan, termasuk menambah bilangan pekerja tempatan dan kerja mengikut syif pada waktu malam serta awal pagi.

“Ada sedikit kelewatan yang saya minta kontraktor buat penambahbaikan supaya projek boleh ikut tempoh masa ditetapkan, jadualnya (siap) Ogos 2025. Kontraktor berusaha siapkan tahun ini mungkin ada sedikit kelewatan.

“Kerja tambahan (langkah) percepat projek ini dilaksana dua hari selepas hari raya. Mereka (kontraktor) cuba siapkan tahun ini, bila kita beri bulan Ogos mereka minta mungkin dalam dua, tiga bulan selewatnya November atau Disember tetapi kita yakin dengan perancangan mereka,” katanya.

Beliau berkata, projek itu melibatkan pembinaan 513 unit kediaman merangkumi pelbagai kelas, termasuk kemudahan asas lain seperti rumah sampah, rumah pam, tangki air serta kerja-kerja mekanikal dan elektrikal bagi memenuhi keperluan anggota tentera dan keluarga mereka.

Sementara itu, Kementerian Kerja Raya dalam kenyataan memberitahu projek bernilai RM188 juta itu telah dimulakan pada 8 Mac 2022 dan mencapai status kemajuan projek sebanyak 45 peratus sehingga Sabtu lepas (15 Mac).

“Kelewatan adalah disebabkan oleh masalah kekurangan bahan binaan seperti cerucuk dan simen di Sabah pada fasa awal projek. Pihak kontraktor mengemukakan pelan mitigasi bagi mempercepatkan pembinaan dan mengatasi kelewatan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, IBS yang diaplikasikan dalam projek di atas tapak seluas 257.78 hektar itu turut membantu memendekkan tempoh pembinaan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga pekerja manual khususnya pekerja asing.-MyMetro Online