Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Suntikan pelaburan sebanyak RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Berhad (SEB) bukan berbentuk dana hangus, sebaliknya pinjaman yang perlu dibayar semula syarikat itu kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Perdana Menteri menjelaskan, suntikan pelaburan itu dijadikan sebagai modal pinjaman supaya pengurusan syarikat apabila mendapat keuntungan, akan memulangkan semula dana berkenaan.

“Apakah dana ini dana hangus? Tidak. Apa yang dilakukan ialah suntikan ini akan dijadikan modal pinjaman supaya pengurusan baharu mudah-mudahan akan mengurus dengan lebih baik.

“Apabila (SEB) mendapat keuntungan, (mereka) membayar semula dana suntikan itu, pulangkan (semula) RM1.1 bilion, jadi ini bukan suntikan dana tetapi dilaksanakan dalam bentuk pinjaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan hari ini.

Media semalam melaporkan SEB memperoleh pelaburan RM1.1 bilion menerusi langganan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar (RCLS) pada nilai nominal oleh Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH). 

Dalam satu kenyataan, SEB menjelaskan pihaknya memeterai perjanjian pembiayaan bersyarat dengan MDH, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha penstrukturan semula kewangannya, mengukuhkan komitmen SEB terhadap kemampanan jangka masa panjang.

MDH, sebuah syarikat tujuan khas Menteri Kewangan (Diperbadankan), menetapkan hasil langganan itu hanya akan digunakan untuk penyelesaian atau pembayaran liabiliti yang terhutang oleh SEB Group kepada penyedia perkhidmatan Malaysia yang beroperasi dalam atau menyokong sektor minyak dan gas di Malaysia. 

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan, suntikan dana itu bukan satu bentuk ‘bailout’, sebaliknya untuk membantu vendor yang terkesan akibat masalah kewangan dihadapi syarikat berkenaan. 

Kerajaan buat audit forensik dalam SEB

Katanya, suntikan dana terbabit bukan diberi begitu sahaja, sebaliknya kerajaan memulakan langkah dengan menjalankan audit forensik untuk mengenal pasti masalah sebenar dihadapi syarikat itu. 

“Saya sendiri tidak senang dengan cara kita menyelamatkan syarikat besar sedangkan puluhan ribu syarikat kecil sering terbiar tanpa pembelaan. 

“Tetapi dalam kes ini, kita harus memahami bahawa suntikan dana ini bukan untuk menyelamatkan individu tertentu, sebaliknya bagi memastikan vendor yang bekerja mendapat bayaran mereka,” katanya. 

Perdana Menteri berkata dana terbabit akan digunakan untuk membayar lebih 2,000 vendor yang sudah melaksanakan kerja mereka tetapi masih belum menerima bayaran. 

“Jika syarikat ini ditutup, tiada syarikat tempatan lain yang mampu mengendalikan operasi dalam industri minyak dan gas negara. Ini bermakna semua kerja di sektor ini terpaksa diserahkan kepada syarikat asing,” katanya. 

Anwar menegaskan, setiap sen yang diberikan akan dipantau dan sekiranya terdapat sebarang salah laku atau penyalahgunaan kuasa, siasatan akan diteruskan tanpa kompromi.

“Kita telah mengambil (firma audit) Ernst & Young untuk menjalankan audit forensik bagi memastikan ketelusan dalam proses ini,” katanya. 

Katanya, keputusan untuk memberi suntikan dana bukan sesuatu yang mudah kerana kerajaan sentiasa berpegang kepada prinsip menolak sebarang usaha menyelamatkan syarikat yang bermasalah tanpa kawalan ketat.-BH Online