KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk meminda Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) bagi mengekang kegiatan pengurniaan sijil akademik palsu, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata, setakat ini peruntukan undang-undang sedia ada memadai iaitu hukuman denda tidak melebihi RM200,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya terhadap individu atau institusi yang didapati melakukan perbuatan itu.
“Berkaitan perubahan akta sedia ada, saya fikir setakat ini kita sudah ada peruntukan memadai iaitu mereka boleh dikenakan hukuman sehingga dua tahun penjara atau bersekali dengan denda RM200,000,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Dr Lingeshwaran R Arunasalam yang ingin mengetahui sama ada Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) perlu dipinda untuk memastikan tindakan lebih tegas bagi menangani isu itu.
Sementara itu, Zambry turut bersetuju dengan cadangan Lingeshwaran untuk mengadakan audit terbuka kepada semua pegawai tinggi kerajaan termasuk Ahli Parlimen, senator dan menteri bagi memastikan tidak ada yang menggunakan sijil akademik palsu.
Menjawab soalan asal Lingeshwaran mengenai pengurniaan ijazah doktor falsafah (PhD) palsu yang berleluasa di Malaysia dan berapa jumlah institusi terbabit isu itu yang dikesan, Zambry berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak menerima sebarang aduan berkaitan mana-mana institusi pendidikan tinggi dalam negara yang mengurniakan PhD secara tidak sah.
“Kita juga tiada maklumat berkaitan jumlah individu menggunakan PhD palsu, ini saya maksudkan untuk dalam negara, luar negara macam-macam cerita kita dengar,” katanya.
Zambry berkata, setiap universiti awam juga mempunyai sistem pangkalan data masing-masing yang menyimpan maklumat pelajar menyelesaikan pengajian termasuk siswazah PhD.
“Data itu perlu dikemukakan kepada KPT setiap suku tahun bagi pengumpulan data pelajar. KPT sendiri membangunkan satu sistem carian maklumat penerima ijazah kehormat dan ijazah kedoktoran daripada universiti awam dan swasta di portal Graduate Reference Hub for Employment and Training.
“Sistem ini sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa, dengan data dikemas kini selepas mendapat kelulusan senat universiti, jadi kita boleh beri rujukan bagi mana-mana pihak untuk membuat carian mereka,” katanya. – BERNAMA