Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

CYBERJAYA: Hadiah Bahasa yang kali terakhir dianjurkan pada 1985 akan dihidupkan kembali, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Program itu, katanya adalah inisiatif Public Bank Berhad (PBB) sebagai usaha untuk memartabatkan Bahasa Malaysia serta menggalakkan perluasan penggunaan bahasa kebangsaan itu dalam kalangan masyarakat.

“Baru-baru ini saya telah mendapat persetujuan Public Bank. Semasa saya dalam kerajaan dulu, kita mulakan Hadiah Bahasa di peringkat universiti, peringkat kolej, sekolah menengah, sekolah rendah kebangsaan, kemudian sekolah Cina danTamil.

“Hadiah Bahasa untuk promosi bahasa dan saya ucap terima kasih kerana hadiah bahasa ini dihidupkan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis berbuka puasa bersama wakil syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia Malaysia (MMU) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

Hadiah Bahasa bertujuan memberi penghargaan dan galakan kepada mereka yang aktif dalam menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik, terutamanya dalam penulisan atau komunikasi.

Program ini membabitkan pertandingan atau penyertaan dengan menawarkan hadiah menarik kepada pemenang yang mempersembahkan kemahiran dalam bahasa kebangsaan.

PBB melalui program ini juga cuba mendidik masyarakat untuk lebih menghargai pentingnya bahasa kebangsaan dalam kehidupan seharian.-BH Online