Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sudah mengemukakan surat kepada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) berhubung sesi pertemuan yang akan diatur untuk membincangkan kerjasama kedua-dua pihak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata walaupun belum mengetahui dengan jelas perincian surat itu, beliau percaya PETROS menawarkan kaedah untuk bekerjasama dengan PETRONAS.

Justeru, beliau berharap kedua-dua pihak bersetuju dengan perincian dalam perbincangan dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. null

“Perinciannya nanti diharapkan mereka (PETROS dan PETRONAS) dapat bersetuju dengan perjanjian, tetapi kalau tidak juga (tiada kata putus), Perdana Menteri dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg akan meneliti semua butirannya.

“Tetapi buat masa ini biarkan PETROS dan PETRONAS menyelesaikan semua butiran termasuk pengaturan komersial macam mana hendak menterjemahkan dua undang-undang (Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Ordinan Perlombongan Minyak 1958) yang boleh bergerak bersama,” katanya selepas Majlis Agihan Bubur Pedas Kejiranan Mesra Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Kompleks Sukan Satok, di sini, hari ini.

Pada Sidang Media Pemukiman Jemaah Menteri Kerajaan Madani 2025 di PETRONAS Leadership Center pada 22 Februari lalu, Anwar berkata, kerjasama PETRONAS dan PETROS merangkumi semua bidang dan akan dibincangkan melalui sesi pertemuan yang akan diatur membabitkan kedua-dua pihak.

Beliau berkata, pada peringkat awal, Kerajaan Malaysia memperakui aspirasi Sarawak untuk menceburi industri minyak dan gas di negeri berkenaan.

Katanya, hasrat itu termaktub dalam Ordinan Pengagihan Gas 2016 (Pindaan) (DGO) yang akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2025.-BH Online