Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia perlu segera menerima pakai teknologi kecerdasan buatan (AI) dan e-invois bagi memastikan daya saing mereka dalam ekonomi digital yang semakin berkembang, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo. 

Beliau menegaskan bahawa pendigitalan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan kritikal dalam dunia perniagaan moden. 

“Masa depan perniagaan adalah digital. Persoalannya bukan jika perniagaan akan menerima AI dan e-invois, tetapi bila,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Siri Bicara Perniagaan PKS: “Empowering AI in Finance and E-Invoicing” di Menara AFFIN @ TRX, di sini, hari ini. 

Gobind berkata, teknologi kini bukan lagi satu kemewahan tetapi satu keperluan, terutama bagi perniagaan yang mahu mengekalkan daya saing, pematuhan dan kemampanan operasi mereka.

“PKS adalah tulang belakang ekonomi Malaysia, menyumbang lebih 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menggaji jutaan rakyat Malaysia. Namun, masih ramai yang bergantung kepada proses lapuk yang menjejaskan kecekapan, mengehadkan pertumbuhan dan mewujudkan risiko kewangan yang tidak perlu. 

“Untuk terus berkembang dalam ekonomi moden, PKS perlu memanfaatkan penyelesaian dipacu AI dan alat kewangan digital bagi meningkatkan operasi perniagaan, mengurangkan kos dan memperbaiki kecekapan pematuhan,” katanya. 

Mengenai pelaksanaan penuh e-invois di Malaysia, Gobind berkata inisiatif itu bukan sekadar pematuhan kawal selia, tetapi peluang untuk mendigitalkan operasi perniagaan serta memodenkan ekosistem kewangan negara. 

“E-invois menawarkan pelbagai manfaat, termasuk pembayaran lebih cepat, kos pentadbiran yang lebih rendah dan pematuhan cukai yang lebih baik melalui sistem yang lebih telus bagi membendung penipuan. 

“Peralihan kepada e-invois akan meletakkan perniagaan di hadapan dan memberikan kelebihan daya saing dalam ekonomi digital Malaysia,” katanya. 

Gobind turut menegaskan komitmen kerajaan dalam menyokong transformasi digital PKS, termasuk menerusi penubuhan Pejabat AI Kebangsaan pada tahun lalu sebagai pihak berkuasa pusat yang bertanggungjawab memacu agenda AI negara. 

Acara anjuran Persatuan PKS Malaysia (SME Malaysia) itu berjaya menarik lebih 300 pemimpin industri, penggubal dasar dan pemilik PKS bagi membincangkan kesan AI dan e-invois terhadap sektor PKS di Malaysia. – Bernama