JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menggandakan usaha dan strategi bagi mengeluarkan sembilan sungai di negeri itu yang tersenarai dalam sungai tercemar tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pada tahun ini sebanyak RM2 juta diperuntukkan untuk membersihkan dua sungai iaitu Sungai Buluh dan Sungai Tukang Batu di Pasir Gudang, manakala RM7 juta diperuntukkan untuk membersihkan Sungai Skudai dan Sungai Tebrau.
“Saya nak maklumkan daripada 14 sungai yang tercemar sebelum ini, sudah turun menjadi sembilan, jadi ini adalah satu trend positif.
“Kita perlu terus berusaha melipat gandakan strategi dan juga usaha untuk kita memastikan dapat sifarkan sembilan sungai yang masih tercemar.
“Kerajaan negeri sasarkan untuk keluarkan dua sungai ini dari senarai tercemar dengan kerja pembersihan dan rawatan kualiti air supaya tahap kualiti air dapat dipertingkatkan.
“Dua sungai ini (Sungai Buluh dan Sungai Tukang Batu) sumber air mentah kurang dan air yang mengalir kebanyakannya dari air kegunaan perumahan dan industri yang menyebabkan tahap air itu berada di tahap keempat ke atas, bererti tahap kotor dan sudah lama dalam senarai tercemar.
“Mudah-mudahan kita berjaya keluarkan dari senarai sungai tercemar tahun depan,” katanya pada sidang media Program Southern Volunteer Go Green X Johor Bersih di Kampung Bakar Batu di Sungai Tebrau di sini hari ini.
Onn Hafiz berkata, selain proses pembersihan, kesedaran semua pihak terhadap kebersihan sungai juga perlu dipertingkatkan supaya tahap kebersihan dapat dikekalkan.
“Jadi saya nak menggesa bukan sahaja usaha yang perlu dilaksanakan oleh agensi dan juga pihak kerajaan. Ia juga adalah usaha yang perlu dilaksanakan oleh rakyat Johor secara keseluruhan dan kita dapati bahawa banyak sampah-sampah yang datang di sungai kita adalah datang daripada kawasan perumahan.
“Ia bukan perkara yang mudah, tak kan nak datang bersihkan hari-hari. Kesedaran sivik rakyat Johor, kena nasihatkan kepada mereka jangan buang sampah dalam sungai, jangan buang sampah luar kereta, tepi jalan, jangan hisap rokok dan buang putung rokok merata-rata,” katanya.
Pada Julai tahun lalu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir dilaporkan berkata, sembilan daripada 25 sungai di Johor Bahru diklasifikasikan tercemar.
Ia membabitkan sungai terbabit ialah Sungai Danga, Sungai Buluh, Sungai Tukang Batu, Sungai Kempas, Sungai Segget, Sungai Pandan, Sungai Sebulung, Sungai Sengkuang dan Sungai Tampoi.-BH Online