KUALA LUMPUR: Kerajaan Melaka memohon Kerajaan Persekutuan melancarkan Tahun Melawat Malaysia 2026 di negeri itu sempena penganjuran dua persidangan antarabangsa September ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 di negeri itu bersesuaian dengan Melaka sebagai tuan rumah untuk penganjuran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang berlangsung 27 hingga 29 September ini.
Beliau berkata seramai 155 menteri pelancongan seluruh dunia akan mengunjungi Melaka sempena persidangan berkenaan.
“WTD dan WTC 2025 ini adalah hari perhimpunan 155 menteri pelancongan dunia yang akan membincangkan tentang perdagangan melalui pelancongan.
“Jadi, sempena persidangan itu, saya mengharapkan supaya Kerajaan Persekutuan dapat melancarkan Tahun Melawat Malaysia 2026 di Melaka.
“Dengan kehadiran menteri pelancongan seluruh dunia di Melaka, pasti Malaysia dan Melaka bangga dipilih menjadi tuan rumah kepada persidangan ini,” katanya selepas mengadakan lawatan rasmi di Balai Berita Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarang Urusan Kumpulan Berita & Hal Ehwal Semasa (NCA) Media Prima, Jasbant Singh; Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan NCA Media Prima dan Pengarang Kumpulan New Straits Times, Farrah Naz Abd Karim; Pengarang Kumpulan NCA Rangkaian Televisyen Media Prima, Azhari Muhidin; Pengarang Kumpulan Berita Harian, Zulkifli Jalil dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri sudah memulakan persiapan awal bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk memastikan kelancaran sepanjang persidangan terbabit.
Sementara itu, kata beliau, sempena Hari Perisytiharan Kemerdekaan pada 20 Februari ini, kerajaan negeri menawarkan 13 destinasi pelancongan termasuk Melaka River Cruise, Zoo Melaka, Menara Taming Sari serta muzium secara percuma kepada semua pengunjung.
“Kerajaan negeri turut mengadakan pelbagai program untuk mengenang dan menghayati makna kemerdekaan.
“Antaranya perarakan beca dan basikal klasik menggantikan kenderaan bermotor selain Pementasan Rapat Umum Bahtera Merdeka menggabungkan lakonan, puisi patriotik dan nyanyian lagu klasik era 50-an.
“Pada masa sama, kita juga menggalakkan pengunjung memakai pakaian klasik era 50-an dalam warna hitam putih untuk menghidupkan nostalgia zaman itu,” katanya.-BH Online