Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya pengusaha inap desa dan ‘kampungstay’ dikecualikan daripada kenaikan tarif elektrik.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ia susulan perkembangan pesat sektor inap desa serta ‘kampungstay’ yang berjaya menarik minat hampir 830,000 pelancong domestik dan antarabangsa dengan janaan pendapatan sekitar RM54 juta tahun lalu.

“Saya akan meminta pengecualian kenaikan kadar tarif elektrik terhadap pengusaha inap desa kerana mereka adalah golongan 85 peratus rakyat tidak terkesan. Kenaikan ini hanya membabitkan sektor perindustrian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Inap Desa di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, serta Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata kenaikan tarif elektrik berkuat kuasa Julai depan hanya membabitkan sektor perindustrian, dengan 85 peratus rakyat tidak akan terkesan dengan pelaksanaan itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, berdasarkan prestasi sektor terbabit pada tahun lalu, kerajaan menyasarkan sejumlah 1.6 juta pelancong dengan janaan pendapatan sekitar RM100 juta bagi tahun ini.

“Tahun ini, kita akan memfokus kepada program pertukaran pelajar antarabangsa, khususnya negara-negara ASEAN, dan membawa mereka menginap di inap desa dan ‘kampungstay’.

“Kita sedar terdapat kekangan dihadapi pengusaha sektor ini, termasuk dari segi infrastruktur dan fasiliti mereka.

“Oleh itu, jawatankuasa ini akan mencari jalan untuk membantu mereka, termasuk meneruskan pemberian kursus yang sesuai bagi usahawan dan pengusaha sektor ini,” katanya.

Selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, Ahmad Zahid berkata, adalah penting untuk sektor penginapan di kawasan desa serta luar bandar itu dipromosikan seiring dengan kemudahan penginapan di bandar seperti hotel, serta menonjolkan budaya dan keindahan semula jadi Malaysia.-BH Online