Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia berbincang bersama agensi berkaitan mengenai permintaan beberapa persatuan berhubung kebenaran membawa masuk pekerja asing dalam sektor restoran.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, mengenai permintaan itu.

“Perkara ini (membekukan kemasukan pekerja asing) adalah keputusan yang dilakukan untuk mengurangkan had dan peratusan jumlah pekerja asing di negara kita.

“Antara sektornya adalah sektor penjualan makanan di restoran India Muslim,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) memohon kerajaan memberi kelonggaran untuk membawa masuk pekerja asing dengan tujuan menampung kekurangan 25,000 tenaga kerja dalam sektor restoran.

Presiden PRESMA, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, perkara itu perlu dipertimbangkan supaya masalah berkenaan tidak berlarutan kerana ketika ini kurang 18 peratus pekerja asing berdaftar dalam sektor restoran di negara ini.

Pada masa sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata, pihaknya mengharapkan kelonggaran itu boleh diteliti semula kerana keperluan mendesak majikan yang berdepan kekurangan pekerja di restoran mereka.

“Mereka benar-benar memerlukan pekerja dan pembantu di restoran dan saya harap perkara ini dapat diselesaikan dalam waktu terdekat,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar menjadi tetamu jemputan untuk program ‘Podcast Utama Buletin TV3’ yang dihoskan oleh Halim Mohamed dan Azaria Tagaya. 

Program itu akan disiarkan Ahad ini jam 10 pagi.

Hadir mengiringi Ahmad Zahid adalah Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Rafiq Razali; Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran.

Hadir sama, Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) MPB yang juga Pengarang Kumpulan New Straits Times, Farrah Naz Abd Karim; Pengarang Kumpulan NCA, Rangkaian Televisyen dan Pengurus Besar Kanan Advertorial dan Sokongan Perniagaan NCA MPB, Azhari Muhidin; Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, M Thillinadan; Timbalan Pengarang Kumpulan New Straits Times, Sharanjit Singh dan Pengurus Besar Kumpulan Pejabat Pengerusi dan Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan, Azlan Abd Aziz.-BH Online