Dasar Gaji Progresif telah diluluskan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan akan disusuli dengan pembentangan Kertas Putih dalam sidang khas di Parlimen pada bulan depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Dasar Gaji Progresif akan menjadi dasar pasaran buruh yang mampu menaikkan gaji pekerja secara sistematik. Dasar ini adalah bersifat sukarela, berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti,” katanya dalam satu kenyataan.
“MTEN berpandangan bahawa Dasar Gaji Progresif merupakan salah satu reformasi pasaran pekerja untuk memastikan pekerja Malaysia tidak dibebankan dengan kos sara hidup dan dapat menikmati pekerjaan dengan gaji yang bermaruah, demi kesejahteraan rakyat dan mencapai agenda mengangkat ekonomi negara.”
Dasar ini dicadangkan ekoran daripada statistik Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan bahawa lebih dua juta pekerja bergaji kurang daripada RM2,000 manakala gaji penengah di sembilan negeri tidak melebihi RM2,000.
Anwar turut menyatakan bahawa dasar ini adalah selaras dengan gagasan Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat yang berhasrat meningkat peratusan pendapatan pekerja dari 32.4% pada tahun 2022 kepada 45%.
Beliau menambah bahawa mekanisme pelaksanaan secara berperingkat akan diperhalusi di peringkat Jemaah Menteri.
“Perkara ini akan dibawa ke Jemaah Menteri bagi memperhalusi mekanisma pelaksanaan secara berperingkat dan meneroka keperluan untuk memperuntukkan dana sebagai insentif dasar ini yang akan ditentukan berdasarkan kedudukan kewangan Kerajaan dan keperluan dasar.”