Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Kuasa pelaksanaan 83 projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) bernilai RM4.06 bilion di Sabah, diserahkan kepada kerajaan negeri ini dalam usaha mempercepatkan penyelesaian projek berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata sebanyak 37 daripada 83 projek itu sedang pada peringkat prapelaksanaan.

Beliau berkata, langkah proaktif dan pendemokrasian kuasa atau desentralisasi itu disifatkan sebagai satu pengubah keadaan untuk menangani isu kelewatan projek, seterusnya memberikan bekalan air lebih stabil kepada rakyat luar bandar negeri ini.

“Ini susulan keputusan Jemaah Menteri bertarikh 17 Mac 2026 yang bersetuju sepenuhnya untuk menyerahkan pelaksanaan projek-projek BALB di Sabah terus kepada Kerajaan Sabah.

“Langkah menyerahkan projek bernilai besar RM4.06 bilion ini juga adalah bukti keyakinan serta kepercayaan penuh Kerajaan MADANI bawah pimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) terhadap keupayaan pentadbiran Kerajaan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Penyerahan Projek BALB kepada Kerajaan Sabah, di sini, hari ini, yang turut disertai Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Menteri Kewangan Sabah, serta Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Rubin Balang.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, langkah drastik itu diambil bagi menyelesaikan masalah banyak projek BALB yang terbengkalai dan tertangguh, sebahagiannya sejak Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) pada 2016.

“Ada projek yang telah 10 tahun tidak dapat dijalankan kerana beberapa kekangan birokrasi, terutama membabitkan kebenaran merancang, jajaran baharu spesifikasi lokasi, dan isu pelantikan perunding serta kontraktor, selain masalah tanah,” katanya.

Bagi merealisasikan inisiatif itu, beliau berkata, projek-projek terbabit akan diletakkan bawah seliaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah, manakala kerja-kerja pelaksanaan pula akan diterajui sepenuhnya oleh tiga agensi utama negeri membabitkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah, serta Jabatan Air Sabah.

“Bagi memastikan setiap projek ini bergerak mengikut garis masa ditetapkan, sebuah Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) telah ditubuhkan.

“Jawatankuasa yang bermesyuarat mulai minggu depan ini membabitkan pegawai KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah), KPLB Sabah dan Setiausaha Persekutuan bagi memantau kelancaran projek secara ketat,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan langkah penyerahan kuasa berkenaan tidak mempunyai kaitan langsung dengan rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sebaliknya, beliau berkata, ia dilakukan secara proaktif di luar kerangka perbincangan perjanjian itu, khusus demi manfaat serta kesejahteraan rakyat di Sabah.

Ahmad Zahid juga memuji komitmen pantas Kerajaan Sabah mendepani cabaran itu, apabila beliau dimaklumkan mengenai kewujudan 184 perjawatan baharu antaranya jurutera dan juruteknik, bagi melicinkan pelaksanaan projek terbabit.

Bagi memastikan agenda mensejahterakan rakyat tercapai, beliau menyeru semua perbezaan ideologi politik diketepikan, agar komitmen dan manifesto parti membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu dapat diterjemahkan kepada realiti.

“Kita merancang untuk meneruskan desentralisasi ini dan dalam masa dua minggu lagi, Menteri KPLB Sabah (Rubin) akan ke KKDW di Putrajaya bagi menyelaraskan penurunan kuasa untuk projek infrastruktur luar bandar yang lain,” katanya.-BH Online