Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Insentif baharu yang akan diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tidak lagi akan bersifat mengagihkan wang dan projek semata-mata.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata sebaliknya RMK13 akan memberi tumpuan kepada dasar-dasar yang mempengaruhi tingkah laku masyarakat dalam negara.

“Inilah yang kerajaan cuba lakukan, mahu memberi tumpuan kepada reka bentuk dasar dan program yang akan memberi kesan jangka panjang kepada tingkah laku kita sama ada dari segi kesihatan, keusahawanan, pendidikan, dan sebagainya.

“Jadi, saya minta maaf untuk berkata yang insentif itu memang ada, tetapi terus terang, harapan saya ialah RMK13 ini bukan menjadi sebuah ‘kitab insentif’. Sebaliknya, ia adalah satu peralihan dasar dan pemikiran supaya kita dapat secara progresif mempengaruhi perubahan tingkah laku.

“(Ini) kerana kita memerlukan perubahan tingkah laku ini untuk mencapai beberapa perkara. Pertama, menjadi negara maju. Kedua, untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi kita sebagai sebuah negara maju. Namun yang paling penting, kita perlu berkelakuan seperti sebuah masyarakat maju untuk mengekalkan kedudukan kita di dunia sebagai sebuah negara maju,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pada sesi program Madani Mendengar dan Sesi Libat Urus (SLU) terakhir RMK-13 bersama pemain industri di sini. 

SLU RMK13 membabitka dewan perniagaan dan pemain industri iaitu perkhidmatan profesional serta makanan dan minuman, kesihatan swasta, pelancongan, logistik dan pembinaan. 

Sesi ini membentangkan hala tuju pembangunan negara di bawah RMK13 dan adalah yang terakhir bersama pemain industri sebelum ia dibentang di Parlimen, dijangka pada 3 Julai 2025. 

Terdapat dua lagi SLU bersama dua negeri iaitu Terengganu dan Pahang dalam masa terdekat. 

Dalam pada itu Rafizi berkata, sektor perkhidmatan dijangka menguasai aktiviti ekonomi Malaysia dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, selaras dengan kebangkitan ASEAN sebagai kuasa ekonomi global utama.

“ASEAN dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar, atau bahkan ketiga, dalam tempoh 10 hingga 15 tahun – dengan kelas pertengahan yang semakin berkembang, populasi muda, dan hubungan digital yang menjadikannya kuasa besar pengguna. 

“Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada pertumbuhan ini. RMK13 adalah peluang terbaik untuk menyusun semula ekonomi dan melaksanakan pembaharuan yang diperlukan untuk trajektori pembangunan Malaysia.

“Tidak seperti rancangan sebelum ini, RMK13 memberi tumpuan kepada perubahan struktur untuk menyokong pertumbuhan mampan dan sejajar dengan ekonomi global yang berkembang,” katanya.-BH Online