BANGI: Cadangan menjadikan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sebagai pembeli tunggal getah di negara ini, akan dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri nanti, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, langkah itu bagi membela nasib pekebun kecil yang menyumbang 89 peratus daripada keseluruhan pengeluaran getah negara, mengatasi sektor estet yang hanya menyumbang 11 peratus.
Katanya, sektor komoditi getah adalah tulang belakang daya tahan ekonomi negara dan hingga kini, lebih 500,000 pekebun kecil menjadi wira sektor itu.
“Dalam pada itu, kita melihat kolaborasi (bersama pemain industri) juga boleh dilakukan untuk menentukan peningkatan harga komoditi getah.
“(Melalui kolaborasi itu) pengeluaran lateks juga dapat dipertingkatkan kerana (hingga kini) kita terpaksa mengimport lateks dengan nilai RM6 bilion setahun, sedangkan kita adalah negara pengeluar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pegawai Lapangan RISDA 2025, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar; dan Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib.
Cadangan supaya RISDA menjadi pembeli tunggal getah daripada pekebun kecil, disuarakan oleh Manndzri ketika berucap pada majlis itu.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, langkah mahu diambil itu dijangka dapat membela nasib pekebun kecil getah yang terpaksa bergantung pada harga lantai.
“Justeru, biarlah kita yang menentukan harga pasaran dan bukan pasaran yang menentukan harga, kerana kita cipta produk berasaskan getah asli serta tidak menggunakan getah tiruan,” katanya.-BH Online