Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JASIN: Rombakan portfolio membabitkan ahli EXCO kerajaan negeri akan diumumkan apabila tiba masanya, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Katanya, buat masa ini beliau sedang meneliti kesesuaian portfolio untuk semua penyandang jawatan berkenaan sebelum ini.

“Saya sedang mengkaji, meneliti dan memberikan pertimbangan yang tinggi untuk perubahan dalam portfolio ahli EXCO terbabit.

“(Perubahan) tetap akan berlaku, tunggu ilham dalam mimpi nanti,” katanya berseloroh selepas merasmikan Duta Riang Villa, Selandar di sini, hari ini.

Bulan lalu, Ab Rauf mengesahkan akan melakukan rombakan EXCO negeri sedikit masa lagi.

Bagaimanapun, beliau berkata, rombakan itu hanya membabitkan pertukaran portfolio tanpa ada individu digugurkan.

Sementara itu, Ab Rauf berkata, tiada pelantikan EXCO kanan kedua menerusi rombakan portfolio itu kelak.

“Tak ada EXCO kanan kedua, mana boleh nanti berat sebelah (pentadbiran tidak lancar),” katanya.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang berakhir minggu lalu, semua EXCO sudah menunjukkan prestasi yang baik dalam beberapa aktiviti bersama rakyat yang diadakan di kawasan Kuala Linggi.

Rentetan itu, katanya, beberapa penambahbaikan akan tetap dilaksanakan bagi melancarkan pelaksanaan dasar kerajaan ketika ini.

“Sudah pasti portfolio yang bakal dirombak itu tidak akan membebankan seseorang ahli EXCO.

“Kita akan melaksanakan mengikut susunan Kabinet di peringkat Pusat, jadi saya akan membuat pengasingan supaya keseimbangan dan tanggungjawab itu dapat dirasai semua,” katanya.-BH Online