KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memperuntukkan RM9 juta dalam Program Latihan Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaaan (OSH-C) bagi melatih secara percuma 10,000 peserta daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara.
Menterinya, Steven Sim, berkata program itu akan dilaksanakan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bertujuan membantu menyediakan latihan percuma kepada majikan PKS mempunyai seorang pekerja terlatih sebagai OSH-C berdaftar atau penyelaras keselamatan.
“Ia juga perlu mematuhi kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang mewajibkan majikan yang mempunyai lima atau lebih pekerja untuk melantik atau menggaji seorang yang terlatih sebagai OSH-C berdaftar.
“Mereka (majikan PKS) boleh memohon dengan menghubungi melalui talian hotline, mengunjungi pejabat dan laman web NIOSH,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Program ASEAN Safety And Health Workers Summit (ASEAN OSH SUMMIT 2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha KESUMA l, Datuk Norison Ramli dan Pengerusi NIOSH, Chong Chieng Jen.
Sementara itu, mengenai program latihan pertolongan cemas kesihatan mental pekerjaan (OPFA) yang dilaksanakan tahun lalu, Sim berkata, lebih 11,000 pemberi pertolongan cemas kesihatan mental pekerjaan direkodkan dan jumlah itu melangkaui sasaran awal sebanyak 10,000 orang.
Beliau berkata, kursus berkenaan dilaksanakan oleh NIOSH dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) bertujuan membolehkan peserta memberi pertolongan berkenaan kepada rakan sekerja mereka dengan segera.
“Sudah pasti mereka bukan doktor, jadi mereka boleh dikatakan sebagai orang pertama untuk bertindak segera sebelum merujuk ke pihak yang berkaitan.
“Masalah mental adalah satu isu yang menular bukan sahaja di tempat pekerjaan, malah di kalangan masyarakat secara amnya khususnya ketika pandemik COVID-19 dan mereka yang berdepan dengan pelbagai tekanan hidup.
“Jadi kita lihat ada keperluan iaitu konsep keselamatan dan kesihatan pekerjaan berkenaan tidak terhad kepada isu-isu fizikal, isu-isu keselamatan dan kesihatan fizikal tetapi juga menjurus kepada isu-isu kesihatan mental,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai pelaksanaan gaji minimum RM1,700 pada Februari ini, beliau mengingatkan majikan bahawa gaji minimum berkenaan tidak harus dilihat sebagai gaji permulaan khususnya kepada graduan.
“Ia bukan gaji untuk pekerja yang berkemahiran tinggi tetapi ia gaji asas kepada pekerjaan yang mungkin memerlukan kemahiran yang lebih rendah ataupun pekerjaan yang lebih asas.
“Berdasarkan statistik sebanyak 4.3 juta pekerja akan memanfaatkan gaji minimum RM1,700 dan daripada jumlah itu sebanyak 80 peratus adalah pekerja warga tempatan,” katanya.-BH Online