PENAMPANG: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bakal membangunkan studio TEKUN TikTok Shop yang pertama di Malaysia terletak di Penampang, Sabah.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata studio itu yang ditempatkan di Pejabat TEKUN Cawangan Penampang itu kini dalam proses pengubahsuaian dan akan dirasmikan pada 16 Februari.
“Ini inisiatif kerajaan melalui kementerian dengan kerjasama TikTok Malaysia untuk membawa Sabah kepada satu cara perniagaan baharu.
“Walaupun ini bukan baharu bagi sebahagian usahawan kerana sebelum ini mungkin mereka sudah biasa menjual produk dan perkhidmatan secara dalam talian menggunakan media sosial masing-masing tetapi kita mahu mempermudah dengan menyediakan studio,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Asas Keusahawanan TEKUN Nasional di sini hari ini.
Ewon berkata pewujudan studio itu adalah projek rintis sebelum dikembangkan ke seluruh negara.
“Saya berharap penyediaan studio yang lengkap dan dengan sokongan platform besar seperti TikTok Malaysia, ia akan menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada keperluan usahawan kita, khususnya di Sabah.
“Kita bermula dulu dengan satu studio di Sabah dan selepas itu kita akan teliti dan buat penilaian projek ini sebelum memperluas ke setiap negeri di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata selain Penampang, satu lagi studio akan dibina dalam masa terdekat iaitu di Ibu Pejabat TEKUN Kuala Lumpur.
Mengenai aspek garis panduan untuk menggunakan studio itu, Ewon berkata TikTok Malaysia serta TEKUN Nasional telah melaksanakan kursus melibatkan beberapa usahawan sebelum ini dan ia akan diteruskan.
Pemilihan Sabah sebagai lokasi pertama kerana beliau mahu negeri ini dikenali sebagai negeri berpendapatan tinggi dan tidak lagi dikategorikan sebagai mempunyai daftar kemiskinan tinggi.
“Kementerian dan agensi akan terus melaksanakan amanah membangunkan sektor keusahawanan dan koperasi di seluruh negara melalui inisiatif baharu sesuai dengan situasi dan keperluan semasa,” katanya. – BERNAMA