Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) sedang memperhebat usaha untuk mempelbagaikan sumber pendapatan daripada segmen perniagaan lain, selain bergantung kepada jualan tiket perkhidmatan pengangkutan awam. 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pada 2024, syarikat itu mencatat lonjakan pendapatan sebanyak lima peratus, hasil pelbagai inisiatif strategik. 

“Pertumbuhan positif ini dijangka berterusan pada tahun ini, terutamanya dengan pembukaan Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Shah Alam pada suku ketiga 2025,” katanya ketika Taklimat Media Prestasi Prasarana 2024 di sini, hari ini. 

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, pendapatan keseluruhan Prasarana kekal statik berikutan kadar tambang yang tidak dinaikkan, selain sebahagian besar pengguna menggunakan pas My50.

“Peningkatan lima peratus itu didorong oleh kenaikan jumlah penumpang, meskipun kadar tambang kekal sama,” katanya. 

Loke berkata, kerajaan telah mengarahkan Prasarana untuk meningkatkan pendapatan melalui segmen bukan tiket, termasuk perniagaan dalam bidang peruncitan, pengiklanan, teknologi, dan pembangunan hartanah seperti 

Menurutnya, Prasarana kini memanfaatkan tanah di bawah projek TOD untuk menjana pendapatan tambahan, selain aktif meneroka potensi pengiklanan, termasuk penjualan hak penamaan stesen. 

“Walaupun operasi masih bergantung kepada subsidi kerajaan, fokus terhadap penyelenggaraan tetap menjadi keutamaan,” katanya, sambil menambah perbelanjaan penyelenggaraan telah meningkat kepada RM177 juta pada 2024, berbanding RM89 juta dua tahun sebelumnya. 

Sebagai pengendali utama pengangkutan awam negara, Prasarana komited mentransformasikan landskap pengangkutan awam, dengan sasaran purata 1.4 juta penumpang sehari menjelang Disember 2025. 

Sasaran itu didorong oleh unjuran pertambahan 10 hingga 12 peratus bilangan penumpang rel dan bas pasca pandemik COVID-19, serta kejayaan beberapa inisiatif kerajaan dan Prasarana dalam menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. 

Pada 2024, Prasarana mencatat purata 1.18 juta penumpang harian, peningkatan sebanyak 24 peratus berbanding 955,000 penumpang pada 2023. 

Prasarana turut menunjukkan penambahbaikan ketara dalam operasi tren, dengan pengurangan jumlah gangguan perkhidmatan kepada hanya 71 insiden pada 2024, berbanding 118 insiden pada 2023, peningkatan reliabiliti sebanyak 33 peratus. 

Selain itu, bilangan tren yang tersedia meningkat 21 peratus, daripada 148 unit kepada 179 unit, sekali gus mengurangkan waktu menunggu terutama di Laluan Kelana Jaya dan Laluan Kajang, masing-masing kepada tiga minit dan empat minit. 

“Peningkatan ini membuktikan komitmen Prasarana dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkualiti, demi manfaat rakyat,” katanya. 

Prasarana kekal optimis dalam usaha merealisasikan visi menyediakan pengangkutan awam moden, cekap dan mampan untuk rakyat Malaysia.-BH Online